Siakap Keli
negara hutang tertinggi
Gambar via CNN Indonesia

Ini Lima Negara Mempunyai Hutang Tertinggi Dengan China

Ini Lima Negara Mempunyai Hutang Tertinggi Dengan China

Negara-negara yang sedang membangun namun mengalami masalah kewangan, ada antaranya yang terpaksa mendapatkan ‘suntikan’ pembiayaan daripada sumber lain.

Seperti yang diketahui umum, antara negara kuasa besar yang mampu meminjamkan wangnya sebagai hutang kepada negara lain ialah gergasi ekonomi Asia, China.

Menurut laporan CNN baru-baru ini, China sudah ‘memberikan’ hutang kepada negara-negara membangun sebanyak USD1.1 trilion (RM5.1 trilion) sejak dua dekad yang lalu.

Hutang itu digunakan untuk membiayai pembinaan jalan raya, lapangan terbang, kereta api, dan loji janakuasa oleh negara-negara membangun di Amerika Latin dan Asia Tenggara.

Pengeluaran hutang ini telah menjadikan China sebagai pemiutang atau debtor yang terbesar di dunia.

Isnin lalu, AidData telah melaporkan terdapat 165 negara membangun yang mendapat pinjaman wang daripada China.

Kemudian 55 peratus daripada hutang akan meningkat di tengah-tengah ekonomi global yang penuh dengan cabaran seperti kenaikan kadar faedah yang tinggi, mata wang tempatan yang semakin lemah dan pembesaran global yang perlahan.

Negara Manakah Mempunyai Hutang Terbesar?

Menurut data Bank Dunia yang telah dianalisis oleh Statista, negara-negara yang mempunyai hutang terbesar di China kebanyakannya bertempat di Afrika.

Tetapi, terdapat juga negara dari Asia Tengah, Asia Tenggara dan Asia Pasifik yang turut sama membuat hutang dengan China.

Difahamkan pinjaman China mempunyai kadar bunga yang tinggi dan jangka masa bayaran semula yang pendek berbanding dengan pinjaman daripada institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Justeru artikel kali ini menerangkan tentang lima negara yang mempunyai hutang terbesar ke China pada akhir 2021 iaitu Pakistan, Angola, Ethiopia, Kenya dan Sri Lanka.

Kadar Hutang Setiap Negara

Pakistan (USD27.4 bilion )

Berdasarkan data daripada IMF yang dipetik oleh CNBC pada Februari, 30 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang Pakistan adalah dari China.

Jumlah hutang itu adalah tiga kali ganda lebih besar daripada hutang Pakistan terhadap IMF dan lebih daripada hutang negara itu kepada Bank Dunia dan Bank Pembangunan Antarabangsa.

Seorang penyelidik dari Insitusi Pengajian Keamanan dan Konflik, Kamal Madishetty berkata, pinjaman China mempunyai syarat yang tidak jelas yang mengabaikan jangka panjang kegunaan projek, mengabaikan kos alam sekitar dan sosial serta mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh OECD.

“Baru-baru ini, mereka (kerajaan Pakistan) telah meminta USD10 bilion dari China untuk melaksanakan sebuah projek besar melibatkan landasan kereta api.

“Mereka mengabaikan hutang yang sedia ada. Ini akan menyebabkan mereka untuk mengalami ‘kemungkiran’ hutang dengan lebih cepat,” kata Madishetty, memetik CNN.

Angola (USD22 bilion)

Selain itu, hutang Angola ke atas China melebihi USD20 bilion termasuklah USD14.5 bilion ke Bank Pembangunan China (CDB) dan hampir USD5 juta ke Bank Export-Import China (EximBank).

Menurut laporan daripada Reuters yang dikeluarkan pada 2022, IMF berkata Angola telah menerima pelepasan hutang sebanyak USD6.2 bilion untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Ia merupakan hasil perjanjian yang telah dibuat bersama dengan tiga pemiutang yang utama.

Walaupun IMF tidak mahu menamakan pemiutang yang terlibat dalam perjanjian itu, namun penganalisis berkata dua daripadanya merupakan EximBank dan CDB.

Ethiopia (USD7.4 bilion)

Sumber rasmi Ethiopia berkata pada Ogos lalu bahawa China telah membenarkan mereka untuk menangguhkan pembayaran hutang sehingga 7 Julai 2024 dalam tahun fiskal.

Sementara itu, menurut laporan, China telah memberikan pinjaman sebanyak USD13.7 bilion kepada Ethiopia sejak tahun 2020.

Namun, pada 2021, ia telah dicatatkan sebanyak USD7.4 bilion, selain tidak jelas jumlah hutang yang akan meningkat pada tahun fiskal 2023 dan 2024.

Kenya (USD7.4 bilion)

Pada November 2022, presiden baharu kerajaan Kenya, iaitu William Ruto telah mengeluarkan sebuah dokumen mengenai pinjaman sebanyak USD3 bilion yang berkaitan dengan sebuah projek landasan kereta api China yang kontroversi.

Dokumen itu telah disembunyikan oleh pentadbiran terdahulunya selama bertahun-tahun di mahkamah.

Menurut laporan, pemberi pinjaman milik negara China komited untuk meminjamkan USD9.3 bilion kepada Kenya dari tahun 2000 hingga tahun 2020. Manakala, jumlah hutang Kenya pula adalah hampir 70 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK).

Sri Lanka (USD7.2 bilion)

Menurut BBC dalam laporan pada 13 Oktober yang lalu, Sri Lanka telah mengesahkan bahawa negara itu telah mencapai persetujuan dengan China untuk menyusun semula hutang yang berjumlah USD4.2 bilion.

Difahamkan Sri Lanka gagal membayar hutang luar negaranya pada bulan Mei 2022, ketika menghadapi masalah kewangan yang teruk dalam beberapa dekad.

Negara itu mempunyai jumlah keseluruhan hutang luar negara sebanyak USD46.9 bilion dan 52 peratus daripadanya sahaja adalah hutang kepada China.

Sumber: CNN Indonesia

BACA JUGA: Universiti Di Thailand Beri Cuti Khas Untuk Siswi Datang Haid

Nurul Alya