Siakap Keli
Bangkit Isu Palestin Tak Bermakna Masalah Negara Tidak Diendahkan - PM Anwar
Kredit: Bernama

Bangkit Isu Palestin Tak Bermakna Masalah Negara Tidak Diendahkan – PM Anwar

Bangkit Isu Palestin Tak Bermakna Masalah Negara Tidak Diendahkan – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kehadirannya ke persidangan-persidangan antarabangsa, yang menyaksikan beliau membangkitkan dengan lantang isu berkaitan Palestin, tidak bermakna masalah dalam negara terutama dalam kalangan minoriti tidak diendahkan.

Selain memenuhi undangan pemimpin antarabangsa, Anwar melihat persidangan berkenaan merupakan satu kesempatan untuk beliau membangkitkan isu berkenaan, yang bersifat kemanusiaan dan bukannya hanya bersifat agama semata-mata.

“Tidak ada minoriti kita yang dibunuh beramai-ramai, tidak ada kemusnahan gereja dan kuil-kuil, jadi sementara ada pihak kurang setuju dengan langkah kita menyokong Palestin, saya tidak fikir wajar, munasabah dan waras untuk dibangkitkan soal kebencian ini.

“…ini bukan sahaja isu agama Islam, kerana penduduk Kristian juga terlibat, walaupun kebanyakan masjid dirobohkan, tujuh gereja turut dimusnahkan sama sekali di Gaza, (jadi) saya tegaskan keperluan kita melihat isu ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu tahu hasil mesyuarat Persidangan Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi mengenai jenayah dan pembasmian kaum (genocide), yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Dalam sidang kemuncak tergempar yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman itu, Anwar turut menggesa negara anggota OIC untuk mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.

Pada masa yang sama, Anwar berkata beliau turut membangkitkan isu Palestin pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mahukan pembunuhan dan kekejaman di Gaza dihentikan segera.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pada persidangan APEC yang dihadirinya atas undangan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden itu, beliau sekali lagi menyuarakan pendirian Malaysia yang tidak mahu mana-mana pihak atau kuasa dunia untuk menentukan pendirian negara dalam isu terbabit.

“Jangan lagi orang barat anggap ini sebagai hegemoni kolonial, menentukan dasar dan bentuk tindakan kita, mereka tidak boleh paksa kita tentukan pendirian kita.

“Di situlah saya nyatakan agak tegas dan saya kata mesti sekurang-kurangnya mula menghentikan serangan sekarang, kerana saya sebut satu hari tambahan (perang) bermakna masih ada anak-anak, wanita dan orang awam dijadikan mangsa korban,” katanya.

BACA: Baru Perasan, Rekaan Bumbung Plaza Tol PLUS Rupanya Berbeza-beza, Ini Alasannya

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma