Siakap Keli
gangguan seksual pegawai
Kredit: BERNAMA

Polis Siasat Kes Gangguan Seksual Babitkan Pegawai Agensi Penguat Kuasa

Polis Siasat Kes Gangguan Seksual Babitkan Pegawai Agensi Penguat Kuasa

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) — Polis sedang menyiasat kes gangguan seksual terhadap seorang wanita membabitkan pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kes itu disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 507A, 509 dan 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

“Kita ada terima laporan dan pegawai serta pengadu itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hari ini tular di media sosial paparan laporan polis seorang wanita berusia 39 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pegawai tinggi kerajaan agensi keselamatan bergelar Datuk sejak tahun lepas.

Wanita yang bekerja sebagai penasihat kewangan itu mendakwa pertemuannya dengan individu terbabit pada Nov lepas adalah berkaitan cadangan pelaburan dan kewangan.

Sejak pertemuan kali pertama itu, individu terbabit telah mengganggu mangsa menerusi perbualan dan kandungan gambar serta video lucah.

Semalam, media melaporkan 10 individu termasuk lima anggota penguat kuasa ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 bagi meminda butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau dalam sistem tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Empat suspek ditahan di Johor, tiga di Selangor, dua di Perak dan satu di Sabah.

Sumber: BERNAMA

BACA: Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Terbabit Kejadian Samun, Tetak

Nurhanis

Sebahagian bahagia juga melepaskan