Siakap Keli
kambing miliki mata pelik
Kredit Backyard Goats, Business Insider

Kenapa Mata & Anak Mata Kambing Kelihatan Pelik? Kajian Ini Ada Jawapannya

Kenapa Mata & Anak Mata Kambing Kelihatan Pelik? Kajian Ini Ada Jawapannya

Mata adalah merupakan anugerah yang sangat tidak ternilai kerana melaluinya kita dapat melihat untuk meneruskan hidup dengan tenang.

Bagi manusia, mata digunakan untuk melihat dan meneliti persekitaran agar tidak mengalami kejadian yang tidak diingini.

Berbeza dengan haiwan, mata mereka dicipta mengikut spesies dan keluarga haiwan tertentu. Bukan sahaja dicipta untuk melihat, bentuk mata mereka juga boleh menjadi berbeza mengikut jenis-jenis haiwan.

Salah satu haiwan yang mempunyai bentuk mata yang berbeza dan sedikit pelik adalah kambing.

Kenapa mata kambing berbentuk pelik?

Dalam satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2015, Martin Banks, seorang saintis penglihatan mendapati bahawa bentuk anak mata haiwan adalah petunjuk kepada kedudukan mereka di dalam rantaian makanan.

Dalam kajian tersebut, Banks dan pasukannya telah mengkaji sebanyak 214 mata haiwan daratan yang berbeza.

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa terdapat hubungan yang jelas antara bentuk anak mata mereka dengan peranan ekologi haiwan tersebut.

Menerusi hasil kajian itu lagi, haiwan pemangsa yang menyerang hendap mangsanya dikatakan cenderung untuk mempunyai anak mata yang menegak. Manakala, haiwan jenis herbivor atau mangsa (seperti kambing) pula mempunyai anak mata yang mendatar.

Perbezaan anak mata antara pemangsa dan mangsa telah memberikan kelebihan tertentu kepada dua jenis haiwan tersebut.

Untuk mengetahui apa kelebihan tersebut, para penyelidik telah menganalisis kebolehan dua bentuk anak mata tersebut.

Selain itu, analisis tersebut juga dibuat untuk mengetahui bagaimana bentuk anak mata itu memenuhi keperluan visual bagi pemangsa dan mangsa.

Kenapa anak mata mendatar membantu mangsa bagi haiwan seperti kambing?

Kambing dan haiwan pemakan rumput lain seperti rusa dan lembu yang diburu oleh pemangsa dikatakan mempunyai strategi untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

Kredit Business Insider

Strateginya mudah iaitu mengenal pasti bahaya dan lari menyelamatkan diri apabila melihat pemangsa. Mata haiwan ini dikatakan perlu melakukan dua perkara dalam satu masa untuk menyokong strategi tersebut.

“Di satu sisi, haiwan ini mesti melihat dalam keadaan panorama untuk mengesan pemanga yang cuba mendekat daripada arah yang berbeza.

“Di satu sisi lain pula, mereka juga mesti melihat ke arah hadapan bagi membantu bergerak pantas di kawasan muka bumi yang tidak mendatar,” kata penyelidik itu.

BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis

Dalam pada itu, analisis juga mendapati bahawa anak mata ini menghasilkan pemandangan panorama tajam yang lebih luas dan dekat berbanding anak mata jenis bulat.

Dengan anak mata yang boleh melihat secara panorama, haiwan yang memilik anak mata seperti ini dikatakan boleh melihat sekelilingnya tanpa masalah.

Anak mata ini juga meningkatkan kualiti imej objek yang dilihat di hadapan dan di belakang haiwan tersebut. Selain itu, ia juga membenarkan lebih cahaya dari bawah terperangkap pada mata dan pasa masa yang sama kurang memerangkap cahaya dari atas.

Bagaimanapun, kelebihan anak mata itu akan terbatas apabila haiwan itu menundukkan kepalanya untuk meragut rumput. Namun, setelah memerhati tingkah laku haiwan itu di zoo, penyelidik mendapati anak mata haiwan ini kekal mendatar walaupun kepala sedang menunduk.

Dengan kata lain, kambing memiliki anak mata yang pelik kerana membantu haiwan ini kekal selamat dalam persekitaran liar.

Sumber: Mentalfloss

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka