Siakap Keli
Ucapan Naib Canselor UPSI
Kredit TikTok/@upsi_malaysia

“Hari Yang Naif Menjadi Geliga…”, Tular Ucapan Penuh Puitis VC UPSI, Buat Ramai Sebak

“Hari Yang Naif Menjadi Geliga…”, Tular Ucapan Penuh Puitis VC UPSI, Buat Ramai Sebak

Sekarang ini seperti ramai yang ketahui, adalah musim graduasi atau konvokesyen bagi universiti-universiti awam mahupun swasta di Malaysia.

Ketika inilah, kita dapat lihat ibu bapa dan anak-anak yang berjaya menamatkan pelajaran berkumpul meraikan kejayaan bersama dengan penuh kegembiraan.

Istiadat konvokesyen ini kebiasaannya akan dibahagikan mengikut beberapa sesi susulan jumlah pelajar yang berjaya menamatkan pelajaran boleh mencecah ribuan orang.

Sebelum istiadat konvokesyen bermula, pemberi anugerah akan memberi beberapa ucapan mereka kepada semua penerima anugerah yang berjaya.

Dalam satu sesi istiadat konvokesyen yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ucapan Naib Canselor universiti tersebut telah berjaya menarik perhatian ramai.

Ucapan tersebut telah dibuat oleh Profesor Dato’ Dr. Md Amin Bin Md Taff ketika istiadat konvokesyen UPSI kali ke-25 sesi pertama.

Kredit TikTok

Perkongsian ucapan oleh Dato’ Dr. Md Amin telah dikongsikan oleh UPSI menerusi muat naik video di laman TikTok mereka.

Ucapan yang penuh nasihat dan tinggi nilai bahasa itu telah berjaya menyentuh isi hati para graduan dan ibu bapa yang berada di dalam dewan tersebut.

Kredit TikTok

“Anak Kandung Suluh Budiman yang disayangi sekalian, izinkan kekanda tuamu ini berpesan. Berpesan-pesan dengan penuh ingatan, berpesan-pesan dengan penuh kesedaran, berpesan-pesan dengan penuh kecintaan.

“Hari ini, hari yang teramat bermakna, hari si remaja menjadi dewasa, hari yang naif menjadi geliga. Hari yang dinanti segenap keluarga, hari terbalasnya lelah, letih ibu dan bapa.

“Dalam kalian meraikan kejayaan, jangan kau lupa pengorbanan ini dua insan. Bergadai, bergolok agar sempurna kebertanggunngjawaban. Biar miskin, biar papa, asalkan anaknya menempah kejayaan.

“Ibu dalam sepi menguntum doa, dalam sedih diusap air matanya, dalam perih ditadah tangannya mendoakan anak dirahmati Azzawajalla. Ayah takkan kau tampak titis tangisnya, yang kau perasan mungkin bengisnya. Tak ingin anak mengulangi silapnya, agar kau berjaya dan berjasa lebih dari ada dirinya.

“Adik-adik graduan, takkan kau sedari pengorbanan mereka ini hinggalah kau alami suatu hari nanti. Betapa mulianya pengorbanan insan-insani yang Allah amanahkan menjadi wali.

“Kepada anak yang sentiasa mereka sayangi, dari dunia hingga ke alam kekal abadi. Terima kasih wahai Sang Ibu, sekalung tahniah wahai Sang Ayah kerana hari ini, hari yang terlalu amat bermakna buat keduamu,” ujar Dato’ Dr. Md Amin dalam ucapannya penuh puitis.

Sungguh tinggi nilai bahasa yang diucapkan oleh Naib Canselor UPSI ini dalam memberi ucapan tahniah dan nasihat kepada para graduan.

Muat naik ucapan tersebut turut mengundang komen pelbagai daripada pengguna TikTok.

Antara komen yang ditinggalkan adalah:

“Dengar part first dan sebak, dengan tiba-tiba air mata mengalir. Don’t know why,” tulis seorang netizen yang sebak mendengar ucapan tersebut.

“Excellent speech and advice Prof. Congrats to the graduates of UPSI,” tulis seorang lagi netizen.

“Ucapan dari pihak UPSI tak pernah mengecewakan. Dulu waktu kakak sulong konvo pun menyayat hati juga,” tulis seorang lagi netizen yang berkongsi pengalamannya mendengar ucapan wakil UPSI yang terdahulu.

BACA: ‘Untunglah…’, Graduan Tersipu Malu Lepas Permaisuri Betulkan Lengan Jubah

@upsi_malaysia

Petikan Ucapan Naib Canselor Sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-25 UPSI UPSIMalaysia universitiDiRaja KPT kementerianpendidikantinggi ibukandungsuluhbudiman PenerajuKebitaraanPendidikan demiUPSI viral tiktokmalaysia trending foryourpage #fyp #konvo #konvoupsi #konvoupsi25 #konvoupsi2023

♬ Sad and lonely – MoppySound

Sumber: TikTok/@upsi_malaysia

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka