Siakap Keli
jalan kaki 159 damansara utama melaka
Kredit: X

Kecewa Dengan Diri, Lelaki Nekad Berjalan Kaki 159km, “Saya Nak Buat Satu Pencapaian Hidup”

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kecewa Dengan Diri, Lelaki Nekad Berjalan 159km, “Saya Nak Buat Satu Pencapaian Hidup”

Pada minggu lepas, seorang pengguna X telah menggegarkan warga maya apabila menceritakan pengalamannya berjalan kaki dari Damansara Utama sehingga ke Kota A Famosa yang memakan jarak kira-kira 159 kilometer.

Pengguna, Manu Ram (@r00dran) dalam hantaran tersebut berkongsi secara terperinci bagaimana dia memulakan perjalanan tersebut sehingga tiba ke destinasi terakhir.

Tertarik dengan pengalamannya yang cukup mengagumkan, Siakap Keli kemudian menghubungi Manu Ram, 26, dan mendengar sendiri ceritanya.

Untuk makluman, Manu Ram merupakan seorang editor bebas dan melakukan kerja suntingan terhadap manuskrip-manuskrip kliennya seperti kertas projek tahun akhir, tesis, disertasi dan sebagainya.

Menurut Manu Ram, dia memulakan perjalanan tersebut pada 2 November lepas kira-kira 6.36 pagi.

Tidak menjalani sebarang latihan khusus, memulakan perjalanan sebagai seorang amatur

Mungkin ada yang terfikir, dalam banyak-banyak lokasi di Malaysia, mengapa Kota A Famosa yang dipilih sebagai destinasi akhir.

“Saya tak pernah pergi ke Kota A Famosa dan saya gemar untuk mengunjungi tempat-tempat bersejarah, ” jelas Manu Ram ketika ditemu bual Siakap Keli.

Jelasnya, beliau memang seorang yang gemarkan sejarah dan menganggap sejarah sebagai satu perkara yang cukup berkuasa dalam tamadun manusia.

Bagi Manu Ram, sejarah dapat memberikan pengajaran dan nilai kepada manusia untuk menjadi lebih baik.

159 damansara utama melaka
Kredit: X

Selain itu, kebanyakan orang mesti tertanya-tanya apakah motivasi di sebalik perjalanan ini kerana tindakan ini bukanlah satu aktiviti yang lazim dilakukan oleh orang biasa.

“Saya merasa kecewa dengan keadaan diri saya pada masa sekarang. Jadi saya ingin membuat satu pencapaian dalam hidup saya bagi meningkatkan rasa yakin terhadap diri saya,” ujarnya.

Manu Ram menjelaskan bahawa dirinya sedang mengalami kesukaran dalam mencari pekerjaan tetap sejak kebelakangan ini. Walaupun sudah menempuhi banyak sesi temu duga, tiada satu pun yang membuahkan hasil yang positif.

Maka, beliau telah mendapat inspirasi untuk berjalan sepanjang 159 kilometer ketika dirinya sedang mandi di dalam blik mandi.

“Sebaik sahaja mendapat idea tersebut, saya terus menghubungi abang, kakak ipar saya. Saya pun membeli beberapa kelengkapan seperti baju hujan, payung untuk perjalanan ini,”

Bagi mencapai matlamat 159 kilometer dari Damansara Utama ke Melaka, lelaki ini jalan kaki kira-kira 20-25 kilometer setiap hari

Menelusuri log perjalanan Manu Ram, kita dapat melihat bahawa lelaki ini telah berjalan dalam jarak yang agak panjang.

Maka, segala perancangan dan pelan teknikal perlu dipersiapkan bagi memastikan beliau dapat sampai ke lokasi tepat pada masanya.

Manu Ram berkata, beliau akan memulakan perjalanan pada awal pagi disebabkan keadaan suhu persekitaran masih tidak terlalu panas.

“Bermula pada 11.00 pagi, saya hanya akan berjalan selama satu jam setengah bagi memastikan badan saya tidak terdehidrasi.”

Apabila sudah capai waktunya untuk berhenti berlari, beliau akan mencari tempat yang redup untuk berteduh seperti pondok bas dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, Manu Ram menyifatkan perjalanannya berjalan secara spontan dan fleksibel.

“Akan tetapi, saya menyarankan anda untuk membuat perancangan rapi agar perjalanan berjalan dengan lancar,” katanya.

Bagi kelengkapan logistik pula, Manu Ram mengatakan dirinya memilih untuk menjadi minimalis dan membawa benda yang penting sahaja.

“Saya akan memastikan bahawa beg yang saya bawa seringan yang mungking. Hanya bawa barang penting dan membawa bekalan air yang banyak ketika berjalan,”

159 damansara utama melaka
Kredit: X

Difahamkan, beliau hanya membawa beg galas yang memiliki berat kira-kira empat hingga lima kilogram sahaja. Bersifat minimalis ketika perjalanan ini dapat membantu Manu Ram untuk bergerak dengan lebih bebas dan berjalan dalam jarak yang lebih jauh.

Berkenaan pemilihan kasut, lelaki asal Damansara Utama ini menyarankan orang ramai yang ingin menempuh perjalanan yang sama untuk memakai kasut yang paling berkualiti dan selesa pada kaki anda.

Terharu dengan kebaikan dan keprihatinan rakyat Malaysia

Sepanjang perjalanannya yang memakan perjalanan berhari-hari, Siakap Keli turut bertanya apakah perkara yang paling bermakna bagi dirinya.

Walaupun beliau telah menjalani perjalanan ini secara solo, kata-kata sokongan tidak lekang dari orang yang ditemuinya sepanjang perjalanannya.

“Mereka akan mengucapkan ‘good luck‘ dan mendoakan perjalanan saya untuk berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Selain itu, Manu Ram turut berkata bahawa ada segelintir warga tempatan yang ingin menumpangkannya ketika terserempak dengannya.

“Mereka sangat baik hati tetapi saya tidak boleh memungkiri janji saya untuk mengelat dalam perjalanan ini,” kata beliau dengan nada melankolik.

Sungguhpun beliau menolak tawaran tersebut, mereka memahami dan menghormati keputusan untuk nekad menghabiskan perjalanan dengan hanya berjalan kaki.

Melihat kebaikan orang ramai terhadap dirinya, tanpa mengenal bangsa dan agama dapat memberikan makna yang mendalam terhadap perjalanan luar biasa Manu Ram.

Nasihat kepada orang ramai yang ingin menjalani perjalanan yang serupa

Perjalanan yang dilihat seakan-akan mustahil, rupanya dapat direalisasikan dengan meletakkan kekuatan fizikal dan mental yang padu di dalamnya.

Siakap Keli berkesempatan untuk bertanya kepada Manu Ram, adakah beliau bakal menyahut seruan yang serupa pada masa yang akan datang.

Jelasnya, beliau mungkin akan menceburi bidang seni pertahankan diri atau menjalankan aktiviti ekstrem lain seperti mendaki gunung.

Sepanjang temu bual dijalankan, Manu Ram merupakan seorang yang memiliki visi dan misi yang jelas serta seorang yang tidak akan mudah mengalah.

“Selagi kita tak cuba sesuatu perkara, kita tidak akan faham bagaimana cara untuk melakukannya. Anda hanya perlu yakin pada diri anda,” nasihatnya.

Selepas perjalanan tersebut, beliau merasa lebih yakin terhadap potensi dirinya dan dapat menghilangkan rasa hiba terhadap atas apa yang berlaku pada dirinya.

Selain itu, beliau juga menasihati orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya mengalah dan ‘memungkiri janji’ terhadap diri sendiri.

“Jangan pernah memungkiri janji, khususnya janji terhadap diri sendiri,” ujarnya.

Ujarnya, beliau telah cuba untuk menghabiskan perjalanan pada hari terakhir agar dirinya sempat kembali ke pangkuan keluarganya untuk sambutan Deepavali.

“Mulakan dengan langkah kecil dan sentiasa bermotivasi pada masa yang sama, bersifat fleksibel ketika dalam perjalanan,” ujarnya.

Manu Ram difahamkan telah menghabiskan perjalanannya yang memakan masa 170 jam pada pukul 8.44 pagi, 9 November 2023.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyahut cabaran yang serupa, anda boleh menelusuri bibit-bibit perjalanan Manu Ram dengan lebih jelas menerusi rajutannya di laman X:

BACA: Baru Perasan, Rekaan Bumbung Plaza Tol PLUS Rupanya Berbeza-beza, Ini Alasannya

Sumber: r00dran via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma