Siakap Keli
pengecualian visa china anwar
Kredit: BERNAMA

Pengecualian Visa 30 Hari Untuk Rakyat China, India Mulai 1 Dis – PM Anwar

Pengecualian Visa 30 Hari Untuk Rakyat China, India Mulai 1 Dis – PM Anwar

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) — Kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini dalam semangat ‘strategic partnership’ hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari Negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.

Bagaimanapun Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pengecualian visa itu tertakluk kepada tapisan keselamatan.

“Tapisan awal akan dibuat bagi semua pelancong, pelawat ke negara Malaysia. Soal keselamatan itu berasingan, kalau ada rekod jenayah ataupun risiko keganasan maka mereka tidak akan dibenarkan (masuk).

“Ini wewenang pasukan keselamatan dan imigresen,”  katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 1,391 perwakilan dan 1,269 pemerhati di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa ini juga turut dinikmati oleh lapan negara ASEAN lain, yang membenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

Beliau berkata kemudahan tambahan lain berkaitaan visa itu dijangka diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail esok.

BACA: Kopi Campur Bara Arang? Ini Asal Usul Kopi Joss

Perdana Menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada China yang melaksanakan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia mulai 1 Dis ini hingga 30 November 2024.

Sementara itu Anwar yang juga Presiden PKR meminta semua pihak termasuk pembangkang agar tidak memperlekehkan hubungan antarabangsa kerana ia signifikan dalam meningkatkan hubungan strategik dan faedah langsung kepada negara dan rakyat.

Beliau menjelaskan perjalanan (beliau) ke negara luar bukan membazir, malah 90 peratus lawatan disifatkan ‘mesti ditunaikan’ oleh kerajaan seperti Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan Mesyuarat ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

“Setiap perhimpunan ini (ketika lawatan kerja dan lawatan rasmi ke luar negara), kita gerakkan banyak usaha, yang dimulakan Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menghubungi syarikat-syarikat dan membawa pulang pelaburan,” katanya.

BACA: Haiwan Mana Yang Dapat Kenali Wajah Sendiri Bila Tengok Cermin?

Sementara itu Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Singapura ditingkatkan dengan membenamkan sentimen serta prasangka lama, dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sangat positif ketika pertemuan Perdana Menteri dengan rakan sejawatannya dari negara itu Lee Hsien Loong.

“Saya menerima perakuan beliau (Lee Hsien Loong), semua hal-hal yang terbantut sama ada soal air, ruang udara atau soal sempadan, kita sudah tunggu berpuluh tahun, harus ada tekad politik untuk selesaikan, dan beri keuntungan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Seterusnya Anwar berkata beliau akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin esok di Sadao, Wilayah Songkhla dalam memastikan perjalanan dua hala rakyat antara kedua-dua negara itu baik dan cekap, selain menggalakkan pelancong dua hala.

Katanya kedua-dua pemimpin bertekad untuk memastikan pembangunan pesat di kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand khususnya di empat wilayahnya, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan keamanan serta kedamaian adil bagi Thailand.

Anwar juga memberitahu kerajaan akan mengambil langkah-langkah segera untuk membaiki kemudahan pengangkutan awam dan lapangan terbang di seluruh negara dalam usaha membawa lebih ramai pelancong luar ke Malaysia

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana