Siakap Keli
masjid tanjak batam
Gambar: Kepri Antaranews

Kenali Masjid Tanwirun Naja, Kubah Ikonik Bentuk Tanjak Di Batam

Kenali Masjid Tanwirun Naja, Kubah Ikonik Bentuk Tanjak Di Batam

Kebiasaannya, kalau anda pergi ke sebuah masjid anda akan mendapati kebanyakan reka bentuk kubahnya kelihatan sama. Tak kiralah Masjid Sendayan, Masjid Kristal, Masjid Terapung ataupun Masjid Jamek, kesemuanya mempunyai kecantikan yang tersendiri tetapi reka bentuk kubah masjid-masjid itu semuanya hampir sama.

Tetapi, terdapat sebuah masjid yang mempunyai seni bina yang sangat unik! Anda tahu rupa tanjak bagaimana? Haa, kalau nak tahu, masjid ini mempunyai kubah berbentuk tanjak. Menarik, kan? Mari kenali Masjid Tanjak.

Masjid Tanwirun Naja, Masjid Tanjak

Gambar: BP Batam

Nama asalnya ialah Masjid Tanwirun Naja. Masjid ini terletak di Batam, Kepulauan Riau, Indonesia. Ia telah mula beroperasi sejak pertengahan tahun 2022.

Masjid ini menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong kerana mempunyai bentuk kubah yang unik. Ia mempunyai bentuk kubah yang menyerupai hiasan kepala lelaki Melayu, iaitu tanjak. Disebabkan kubahnya yang unik, masjid ini lebih dikenali sebagai Masjid Tanjak.

Untuk maklumat lanjut, masjid ini terletak di dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, yang terletak di Batu Besar, Nongsa, Batam. Masjid ini berada di pintu utama kawasan lapangan terbang yang bertentangan dengan sebuah Tugu Helang di situ.

Tidak hanya untuk kegunaan mereka yang berada di Lapangan Terbang Hang Nadim, malah difahamkan ia juga dibuka untuk sesiapa sahaja pengunjung dari luar.

Pada mulanya, masjid yang dibina dengan keluasan tapak 15,797 meter persegi itu memang dibina untuk kemudahan pengguna di Lapangan Terbang Hang Nadim. Ini kerana, sebelum ini mereka sukar untuk mencari tempat bagi mendirikan solat, terutama sekali Solat Jumaat.

Gambar: Batam Pos

Namun, setelah masa berlalu, jemaah Masjid Tanjak itu bukan saja penumpang kapal terbang di Lapangan Terbang Hang Nadim, tetapi ia turut dikunjungi oleh masyarakat di Bandar Batam, pelancong tempatan dan juga luar negara.

Kebiasaanya, mereka pergi ke masjid itu yang diuruskan oleh BP Batam untuk mengambil gambar, melihat seni bina masjid yang unik dan untuk menunaikan solat. Pada bulan Ramadan, kebanyakan warga Batam akan berkunjung ke masjid itu untuk beribadah dan juga untuk menunaikan solat Tarawih.

Menurut seorang petugas yang bekerja di Masjid Tanjak, ketika bulan Ramadan, masjid itu bukan saja mengadakan solat Tarawih berjemaah. Tetapi, ia turut menyediakan hidangan bagi jemaah yang berada di situ ketika waktu untuk berbuka puasa.

Masjid Bersih Dan Tenang

Masjid Tanwirun Naja ini sangat bersih dan selesa. Masjid ini boleh menampung seramai 1,250 jemaah dan ia menggunakan konsep separuh terbuka.

Kawasan dalam masjid yang mempunyai dua tingkat itu tetap rasa nyaman dan sejuk walaupun tidak menggunakan penyaman udara. Pada waktu siang pula, masjid ini tidak memerlukan pencahayaan lampu.

Gambar: Batamline

Selain itu, kawasan masjid juga dilengkapi dengan taman dan kolam air. Hampir di setiap kawasan terdapat taman dan kolam, bermula dari hadapan pintu masuk masjid hingga ke kawasan berhampiran imam. Setiap kolam pula terdapat banyak ikan.

Masjid ini juga mempunyai tempat mengambil wuduk yang cantik dan juga bersih. Jemaah lelaki dan perempuan yang tidak berhijab boleh berwuduk di deretan paip air di bahagian hadapan, sisi dan belakang masjid.

Bagi wanita yang berhijab pula, mereka boleh mengambil wuduk di bahagian khas untuk berwuduk di bahagian belakang masjid. Bukan itu sahaja, ruang parkir kenderaan dua roda dan empat roda juga agak luas. Ia juga percuma untuk digunakan dan terletak di bahagian belakang masjid. Jadi, anda tidak perlu risau tentang kenderaan yang anda bawa ketika melawat masjid itu.

Untuk wanita yang ingin menunaikan solat di Masjid Tanjak tetapi terlupa membawa telekung, anda tidak perlu risau. Ini kerana, terdapat banyak telekung yang disediakan di dalam masjid itu. Ia diletak di kawasan khas yang mempunyai cermin untuk digunakan para jemaah. Telekungnya juga bersih dan tidak berbau, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan.

Menarik kan Masjid Tanjak ini? Ada tak yang dah pernah melawat masjid itu? Cubalah kongsi cerita anda!

Sumber: Kompasiana

BACA JUGA: Kenali Pokok Tercantik Di Korea, Pokok Ginkgo Berumur 860 Tahun

Nurul Alya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: