Gangguan bekalan elektrik yang melanda Batam, Kepulauan Riau, Indonesia sejak Isnin menjejaskan aktiviti harian penduduk apabila bekalan air bersih dan rangkaian telefon turut dilaporkan mengalami gangguan.
Keadaan itu bertambah sukar apabila wilayah berkenaan turut diselubungi kabut asap.
Seorang penduduk Tiban, Aftah, berkata bekalan elektrik di kediamannya terputus sejak kira-kira 6.30 pagi Isnin sebelum kembali pulih sekitar tengah malam.

Bagaimanapun, gangguan berulang pada pagi Selasa menyebabkan penduduk sekali lagi berdepan masalah bekalan elektrik.
Menurutnya, gangguan itu turut menyebabkan air di rumahnya tidak mengalir berikutan sistem bekalan air yang bergantung pada penggunaan elektrik.
Malah, pejabat tempat Aftah bekerja terpaksa menggunakan generator bagi memastikan operasi dapat diteruskan, manakala beberapa pelajar dilaporkan diberikan cuti persekolahan susulan keadaan berkenaan.
Laporan Republika.co.id turut memetik seorang penduduk Batam, Ani, yang ketika itu berada di Tanjungpinang, Pulau Bintan, mengesahkan gangguan bekalan elektrik turut dirasai di kawasan berkenaan.
Sementara itu, PT PLN Batam dalam kenyataannya memaklumkan gangguan sistem bekalan elektrik berlaku pada Isnin, kira-kira 6.37 pagi waktu tempatan.
Berdasarkan petunjuk awal, gangguan itu dipercayai berpunca daripada kemasukan haiwan liar ke kawasan pencawang elektrik di Gardu Induk Sungai Harapan.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
PLN memaklumkan kerja pemulihan dilaksanakan secara berperingkat sejak malam Isnin, termasuk pemeriksaan loji jana kuasa serta pemulihan rangkaian penghantaran dan pengagihan elektrik.
Setakat 4 pagi Selasa, kira-kira 98 peratus pelanggan dilaporkan kembali menikmati bekalan elektrik, manakala 99 peratus daripada beban elektrik yang terjejas telah dipulihkan.
Dalam perkembangan berkaitan, keperluan bekalan elektrik di Batam turut menjadi perhatian susulan pertumbuhan industri pusat data di Nongsa Digital Park.
Beban puncak elektrik di wilayah itu diunjurkan meningkat daripada 841 megawatt pada 2026 kepada 2,540 megawatt menjelang 2035.
Bagaimanapun, PLN setakat ini tidak mengaitkan pertumbuhan industri pusat data sebagai punca gangguan elektrik yang berlaku kali ini.
Sebaliknya, gangguan berkenaan masih dikaitkan dengan kemungkinan masalah di Gardu Induk Sungai Harapan sementara siasatan diteruskan.

