Siakap Keli
Niat didik masyarakat
Kredit Siakap Keli

Abang Ni Buka “Petting Zoo” Bergerak, Nak Dedah Masyarakat Dengan Haiwan Eksotik

Abang Ni Buka “Petting Zoo” Bergerak, Nak Dedah Masyarakat Dengan Haiwan Eksotik

Setiap orang memiliki minat dan hobi tersendiri yang dilakukan setiap hari. Adakalanya, hobi yang asalnya sekadar suka-suka boleh bertukar menjadi pekerjaan yang memberikan sumber pendapatan pula.

Namun begitu, tidak semua orang di atas muka bumi ini berpeluang untuk melakukan sesuatu pekerjaan sesuai dengan minat mereka sedari kecil lagi.

Mungkin ada sesetengah orang suka dengan kerjaya sebagai anggota badan beruniform dan ada sesetengah meminati bidang profesional seperti doktor atau peguam.

Namun, berbeza buat lelaki ini yang dikenali sebagai Ahmad Hafizi Bin Ahmad Zaini, 38, tahun yang lebih meminati haiwan eksotik sebagai kerjaya utamanya.

Disebabkan minat yang mendalam terhadap haiwan eksotik ini juga telah membuatkan Ahmad Hafizi nekad mahu mendidik masyarakat berkenaan hidupan yang istimewa ini.

SK baru-baru ini berkesempatan meluangkan masa bertemu dengan Ahmad yang mengusahakan ‘petting zoo mini bergerak’ dan menjual haiwan eksotik sebagai punca pendapatan utamanya.

Menurut Ahmad, perniagaan yang sedang dijalankan ini baru sahaja ditubuhkan pada awal tahun ini dan ia dilakukan secara sepenuh masa.

Minat yang mendalam terhadap haiwan telah mendorongnya untuk menjalankan perniagaan tersebut.

Selain itu, beliau juga mendapat dorongan yang hebat dari isteri, keluarga dan rakan-rakannya untuk meneruskan usaha tersebut.

Dua orang rakannya yang menjadi sebahagian daripada orang penting perniagaan tersebut ialah Alang Arif Adib Al Azry Bin Muhammad, 28 dan Syukri Yazid Bin Jaludin, 36.

Menurut Ahmad, beliau mengusahakan perniagaan ini adalah untuk mendidik masyarakat berkenaan haiwan eksotik terutamanya.

“Saya sebenarnya dengan haiwan ni, berminat sejak kecil. Kenapa saya buat petting zoo bergerak ni adalah saya nak ubah persepsi orang terhadap haiwan. Banyak orang geli, takut dengan haiwan, especially dengan haiwan reptilia atau eksotik.

“Banyak orang takut, sebelum kenal tu orang takut. Jadi kita buat zoo ni lebih kepada mendidik orang. Kita nak tunjuk dekat orang yang haiwan-haiwan ni sebenarnya jinak, boleh didekati, boleh dibela.

“Kita juga nak ajar orang tentang haiwan yang boleh dipegang, yang mana berbisa dan tak,” jelas Ahmad tentang usaha menjalankan petting zoo bergerak tersebut.

Bercakap soal cabaran, Ahmad berkata bahawa untuk ubah persepsi terhadap haiwan adalah antara cabaran yang terberat dihadapinya buat setakat ini.

Antara cabaran lain adalah tentang tempat dan lokasi untuk membuka petting zoo bergerak itu sendiri.

Apabila ditanya mengenai usahanya dalam menjual haiwan eksotik sama ada berbaloi atau tidak, Ahmad berkata bahawa baginya ia sudah cukup untuk menampungnya sekeluarga.

“Nak kata terlalu berbaloi tu tidaklah, nak jadi kaya raya saya tak pasti boleh jadi ke tidak, tetapi Alhamdulillah saya boleh teruskan hidup macam biasa,” jelasnya lagi.

Selain petting zoo bergerak, beliau juga menjual haiwan eksoktik tersebut seperti ‘pacman frog’ dan sedang mengusaha untuk menternak ‘gecko’ untuk dijual.

Beliau juga sempat menasihati pengusaha atau mereka yang melakukan perniagaan yang sama diluar sana untuk teruskan usaha tersebut. Ini kerana usaha yang dilakukan seiring dengan minat pasti rezeki itu akan datang dengan sendirinya.

“Teruskan usaha, kalau dengan minat kita rezeki tu InsyaAllah ada. Jangan risau akan persaingan dan percaya dengan rezeki. Dalam meniaga ni, saya selalu tekankan kalau kita meniaga rugi itu pasti.

“Cuma cara kita untuk tangani kerugian tu supaya dapat keuntungan la. Sebab lepas kita percaya kita akan rugi tadi, maka kita akan usaha lebih,” nasihat beliau kepada pengusaha di luar sana.

BACA: Kisah Eerah Peniaga Burger ‘Istimewa’: Tak Bagi Sesiapa Buat Sos Cili, Hanya Guna Resipi Arwah Ibu

Bercakap soal perancangan di masa hadapan, beliau berkata bahawa usaha ini akan diteruskan dan mendapat membuka sebuah kedai fizikal menjual haiwan tersebut.

“Kita akan teruskan perniagaan ni, kita akan tambah baik dan buka kedai fizikal untuk pelanggan boleh walk-in. Tambah baik petting zoo servis,” akhiri Ahmad.

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka