Siakap Keli
pemuda kebakaran tahfiz
Kredit: BERNAMA

Rayuan Pemuda Disabitkan Kesalahan Bunuh Dalam Kebakaran Pusat Tahfiz Didengar 21 Feb

Rayuan Pemuda Disabitkan Kesalahan Bunuh Dalam Kebakaran Pusat Tahfiz Didengar 21 Feb

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) — Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Feb tahun depan untuk mendengar rayuan pemuda berusia 22 tahun terhadap sabitan kesalahan membunuh 23 orang dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Pemuda itu diperintahkan untuk ditahan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 selepas didapati bersalah terhadap pembunuhan itu. Dia berumur 16 tahun ketika kejadian.

Peguamnya Haijan Omar ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pendengaran rayuan itu.

Pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mahyun Yusof yang menetapkan tarikh perbicaraan itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 orang di pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di ibu negara, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Pada 11 Sept lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pemuda itu dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara.

Panel hakim yang sama turut menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi pemuda, juga berumur 22 tahun, daripada tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri. Lelaki itu juga berusia 16 tahun ketika kejadian.

Sumber: BERNAMA

BACA: Wanita Kemboja, Anak Dakwa Melayu Malas Dituduh Di Mahkamah Esok

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana