Siakap Keli
psm mohon maaf
Gambar: Orang Awam

Keadaan Padang Stadium Nasional Bukit Jalil Kurang Memuaskan, PSM Mohon Maaf

Keadaan Padang Stadium Nasional Bukit Jalil Kurang Memuaskan, PSM Mohon Maaf

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf susulan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia, Jumaat ini.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebooknya sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu, permohonaan maaf itu ditujukan kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur dan juga kepada para peminat bola sepak tanah air.

“Terutamanya kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC serta semua penyokong kedua-dua pasukan,” kata kenyataan itu.

PSM mengakui keadaan itu berpunca daripada kesuntukan masa untuk membaiki dan mengembalikan padang ke keadaan memuaskan selepas Konsert Coldplay.

Konsert band berasal dari United Kingdom itu telah diadakan pada 22 November lepas.

“PSM komited melakukan penambahbaikan Standard Operating Procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa akan datang,” tambah kenyataan itu lagi.

BACA: Stadium Nasional 90 Peratus Sedia Untuk Final Piala Malaysia

 

Rumput Padang Bukit Jalil Tak Kukuh Sebab Kurang Kena Cahaya Matahari – PSM

Terdahulu, PSM memaklumkan bahawa keadaan tompok rumput di padang Stadium Nasional Bukit Jalil terjadi disebabkan oleh kurang pendedahan kepada cahaya matahari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, rumput di kawasan tersebut tidak dapat menyerap sumber matahari dengan baik sekaligus melambatkan proses tumbesaran rumput tersebut.

Susulan kurang terdedah kepada cahaya matahari, PSM telah menggunakan ‘grow light’ bagi membantu merangsang pertumbuhan rumput tersebut.

“PSM telah menggunakan ‘grow light’ bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu. Namun, ia tetap tidak tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semula jadi,” tulis kenyataan PSM tersebut.

Walau bagaimanapun, PSM optimis bahawa perkara itu dapat diatasi sepenuhnya menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia.

Sebagai tambahan, PSM mendedahkan bahawa tempoh standard bagi penyediaan secara rapi bagi rumput padang sepatutnya mengambil masa sehingga 12 bulan.

Bagaimanapun, PSM hanya diberi tempoh sekitar lapan bulan bagi melakukan persediaan tersebut.

Selain itu, PSM turut menjelaskan bahawa keadaan hujan sepanjang minggu lepas juga tidak dapat membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu.

Sumber: PSM

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka