Siakap Keli
alif satar teruja
Gambar: Instagram Alif Satar

Alif Satar Teruja #Gengsubuhmacamjumaat Dapat Sambutan Positif

Alif Satar Teruja #Gengsubuhmacamjumaat Dapat Sambutan Positif

Penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar menzahirkan rasa teruja selepas usahanya mengajak orang ramai menunaikan solat Subuh secara berjemaah mendapat sambutan menggalakkan, lapor Sinar Harian.

Alif Satar atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar memaklumkan di sebalik usaha yang dilakukannya itu adalah termasuk memperbaiki dirinya. Ia berlaku selepas dia mendengar ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz sewaktu mengikuti kelas agama.

“Dalam kelas itu, ada yang tanya macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu tanya kembali, solat Subuh di rumah atau di masjid? Individu itu jawab dia solat di rumah kerana takut mengantuk.

“Jadi ustaz itu jawab kalau mengantuk pun takut, macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu kongsi hadis yang saya tidak pernah dengar iaitu waktu paling berat buat si munafik adalah Isyak dan Subuh.

“Bila dengar itu, rasa terkesan sebab saya ajak pengikut Instagram bangun awal dan mulakan dengan senaman jam 5.30 pagi sebelum buat rutin lain, walhal sepatutnya kena mulakan dengan Subuh. Jadi inisiatif itu sebenarnya untuk betulkan diri saya juga, bukan terfikir satu gerakan,” ujarnya.

Gambar: Instagram Alif Satar

Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu berkata demikian sewaktu ditemui selepas tayangan filem terbaharu lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada Selasa.

Alif, 33, jelas terkejut setelah mendapati semakin ramai jemaah yang menunaikan solat Subuh di Masjid Kariah masing-masing.

BACA JUGA: Sambut “Birthday” Ke-191 Tahun, Kenali Jonathan, Kura-Kura Paling Tua Di Dunia 

Dalam masa yang sama, dia menyatakan usahanya itu turut mendapat sokongan daripada kariah masjid di lokasi rumahnya.

“Ramai tag saya, daripada budak universiti sehinggalah ke Turki. Kami guna tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat.

“Malah di masjid berhampiran rumah saya pun, kalau sebelum ini hanya satu saf setengah yang penuh, kini sudah lebih dua saf jemaah yang hadir untuk solat Subuh.

“Saya harap perkara ini berterusan kerana dalam kita bersolidariti untuk Palestin, kita kena juga betulkan diri sendiri,” katanya lagi.

Anak Perjanjian Syaitan 2

Gambar: Sinar Harian

Sementara itu, ditanya mengenai keterlibatannya dalam filem Anak Perjanjian Syaitan 2, Alif memberitahu dia telah ditawarkan  untuk memegang watak seorang Ustaz oleh pengarah dan penulis skrip, Dr Ahmad Idham ketika berada di Makkah.

Demi menjiwai watak Ustaz Taha dengan baik, penyanyi itu rela berlatih mengalunkan surah Al-Mu’minun  dari ayat 115 hingga 118 dengan lancar.

Tambahnya lagi, tawaran berkenaan juga sukar ditolak.

“Kalau orang cemuh perkara lain saya boleh terima, tapi bila kita jayakan sendiri bacaan ayat dalam al-Quran takkan nak tangkap muat sahaja.

“Bimbang juga kalau qalqalah tersilap, tetapi kalau ada yang menegur, saya tetap terima dengan hati terbuka. Ini pengajaran juga untuk yang menonton kelak,” jelasnya.

Selain Alif, filem itu turut dibintangi oleh Eyka Farhana, Fasha Sandha, Azizah Mahzan, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Shaharuddin Thamby, Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong dan Elly Arifin.

Anak Perjanjian Syaitan 2 bakal ditayangkan di pawagam bermula 4 Januari depan.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.