Siakap Keli
Zayn Rayyan dibunuh
Kredit BERNAMA

Zayn Rayyan Dipercayai Dibunuh Di Lokasi Lain Sebelum Mayat Diletakkan Di Anak Sungai

Zayn Rayyan Dipercayai Dibunuh Di Lokasi Lain Sebelum Mayat Diletakkan Di Anak Sungai

PETALING JAYA, 7 Dis (Bernama) — Kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai di Damansara Damai dekat sini dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata hasil bedah siasat hari ini mendapati kanak-kanak berusia enam tahun itu meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan.

“Mengambil kira daripada hasil bedah siasat, kita merumuskan mangsa tidak mati di tempat kejadian, mungkin mati di tempat lain dan diletakkan di situ (anak sungai) … yang pasti dia (Zayn Rayyan) bukan lemas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini malam ini.

Mohd Shuhaily berkata hasil proses bedah siasat, selain kecederaan di leher dan badan mangsa, terdapat juga kecederaan mempertahankan diri.

Beliau berkata siasatan awal mendapati aliran anak sungai itu bukan laluan kebiasaan masyarakat setempat, namun tidak menolak kemungkinan suspek memahami selok-belok lokasi kejadian terbabit.

BACA: Kematian Zayn Rayyan Diklasifikasikan Sebagai Kes Bunuh – Ketua Polis Selangor

Beliau berkata siasatan akan diteruskan di lokasi kejadian bagi mencari bukti untuk menjejaki suspek dan setakat ini polis telah merakam keterangan daripada ibu bapa mangsa.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian ini melibatkan individu yang tinggal di kawasan kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pihak polis bersama masyarakat setempat selama dua hari telah melalui tempat sama, tidak menemukan mangsa tetapi dijumpai pada hari kedua lewat malam.

“Kita memandang serius kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan,” kata beliau.

Mohd Shuhaily berkata pada ketika ini, siasatan kematian Zayn Rayyan konsisten kepada kes bunuh.

Selepas dilaporkan hilang tengah hari Selasa di Damansara Damai, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira 10 malam Rabu.

Mayat kanak-kanak lelaki itu dijumpai kumpulan penduduk yang turut membantu operasi mencari mangsa.

Mangsa ditemukan terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Terdahulu, ibu Zayn Rayyan dilaporkan menyedari kehilangan anaknya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen itu kira-kira 12.30 tengah hari, sebelum kanak-kanak berkenaan dikatakan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka