Sekurang-kurangnya lima mayat tanpa identiti ditemui polis di Universiti Prima Indonesia (UNPRI) kampus Medan, selepas video tragis penemuan mayat yang tidak diketahui tular di media sosial pada Selasa lalu, lapor Tribun News.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Medan, Pesuruhjaya Teuku Fathir Mustafa, pada awalnya hanya dimaklumkan tentang penemuan dua mayat namun selepas pemeriksaan dijalankan terdapat lima mayat ditemukan pihaknya.
Jelasnya, mayat yang ditemui berada dalam keadaan berkedut dan dikelilingi dengan sedikit cecair jernih.
“Setakat ini, hanya lima mayat ditemukan di tingkat 15, empat lelaki dan seorang perempuan.
“Kami jumpa mayatnya di satu sudut bilik di mana ia tidak layak berada di situ,” kata Fathir katanya kepada pemberita.
Teuku Fathir berkata pemeriksaan di kampus itu dilakukan dari tingkat sembilan hingga ke tingkat 16.
Bagaimanapun, ketika mereka berada di tingkat 15, polis mula curiga dengan sebuah bilik yang ada tangki simen tertutup di satu sudut.
Dalam pada itu, beliau turut berkata polis masih menggeledah tempat tersebut untuk mencari bahan bukti berkaitan mayat terbabit.
Ujarnya pada ketika ini, masih tiada maklumat mengenai lima mayat itu dan pihaknya masih meminta keterangan dari pihak kampus.
“Kami masih meminta penjelasan dari pihak kampus, dari mana datangnya mayat ini, apa identitinya dan kenapa berada di kampus,” ujarnya.
Sebelum ini, Teuku Fathir berkata pihak kampus enggan bekerjasama dalam melakukan siasatan terhadap kes tersebut.
BACA: Dua Mayat Dalam Tangki Air Universiti
“Kampus UNPRI tidak memberi kerjasama dan sempat menolak ketika kami mahu menjalankan siasatan di tempat kejadian.
“Walaupun disekat, polis berjaya masuk ke dalam kampus untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.
Malangnya, apabila polis tiba di tempat kejadian, tingkat sembilan sudah pun dibersihkan dan tiada lagi tangki air yang didakwa mayat berada.
“Apabila pegawai tiba, lokasi di tingkat sembilan sudah pun dibersihkan, bukan seperti yang dilihat dalam video yang tersebar,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, polis turut melakukan pemeriksaan di beberapa bilik lain. Namun, bilik itu berkunci.
Sementara itu, terdapat juga dakwaan yang mengatakan mayat yang ditemukan sebelum ini adalah boneka.
Pelajar UNPRI yang merakam kejadian sebelum ini tampil mendakwa mayat yang ditemui adalah satu patung dan bukan mayat manusia.
Sumber: Tribun News, CNN Indonesia