Siakap Keli
KPN Jamin siasatan telus
Kredit Sinar Harian, BERNAMA

Kes Pelajar Maut Dilanggar: KPN Beri Jaminan Siasatan Telus & Adil

Kes Pelajar Maut Dilanggar: KPN Beri Jaminan Siasatan Telus & Adil

Siasatan secara telus dan adil dijamin akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kemalangan maut pelajar sekolah di Ipoh, Perak.

Memetik Sinar Harian, jaminan itu telah diberikan sendiri oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, arahan untuk menyiasat kes itu secara menyeluruh itu juga telah dikeluarkan.

Arahan berkenaan dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Beliau turut menegaskan kes itu akan disiasat secara adil dan PDRM tidak akan sama sekali berkompromi atau melindungi suspek utama kes yang merupakan seorang anggota polis.

Difahamkan, suspek utama kes tersebut adalah merupakan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Pegawai terbabit juga telah ditahan dan direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, kita (polis) juga sudah merakam percakapan tujuh orang saksi membabitkan pelajar sekolah yang melihat dan berada di tempat kejadian,” katanya pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Tambah Razarudin, kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya akan melihat segenap sudut dalam kes tersebut jika terdapat keperluan siasatan di bawah lain-lain seksyen.

Selain itu, beliau juga berkata bahawa pihak polis akan memberi jaminan siasatan telus akan dilakukan membabitkan kedua-dua pihak yang terlibat dalam kes tersebut.

BACA: Polis Siasat Pelajar Maut Didakwa Dilanggar Lari

“Sehubungan itu, saya turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan dan mempunyai maklumat untuk tampil kepada pihak polis. Ia bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, pelajar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 dilapor maut selepas terlibat dalam kemalangan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha disyaki telah dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Ativa berwarna putih. Kereta tersebut dipercayai telah dipandu oleh pegawai kanan polis tersebut yang berusia 44 tahun itu.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka