Siakap Keli
ujian air kencing pegawai polis
Kredit: BERNAMA

Polis Sahkan Ujian Air Kencing Pegawai Polis Langgar Pelajar Negatif

Polis mengesahkan hasil ujian saringan air kencing pegawai kanan polis yang terlibat dengan kes langgar pelajar lelaki di Jalan Taman Jati di Meru adalah negatif dadah, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, hasil keputusan diperoleh selepas pegawai kanan berusia 44 tahun berpangkat Deputi Superintenden terbabit menjalani ujian saringan tersebut selepas ditahan Jumaat lalu.

“Ujian urin telah dibuat dan disahkan negatif. Polis juga ada mengambil sampel darah dan sedang menunggu keputusan daripada pihak patalogi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri turut meminta supaya orang ramai bekerjasama dengan tidak menyebarkan dakwaan negatif berhubung perkara tersebut di media sosial.

Ujarnya, masyarakat perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan ke atas perkara tersebut.

“Saya baca semua yang tular di media sosial, kononnya polis akan melindungi suspek kerana dia pegawai kita. Tuduhan itu fitnah dan tidak benar sama sekali,” katanya.

Lelaki berkenaan yang juga bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu telah direman selama tiga hari bermula Sabtu.

BACA: “Saya Perlukan Kalian”, Kakak Pelajar Maut Minta Saksi Buat Laporan

Sebelum ini, media melaporkan pelajar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 dilapor maut selepas terlibat dalam kemalangan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha disyaki telah dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Ativa berwarna putih dan kereta tersebut dipercayai telah dipandu oleh pegawai kanan polis.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana