Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wakil Calon PH Machap Buat Laporan Polis Dakwa MB Johor Langgar Peraturan Kempen

Wakil Calon PH Machap
Kredit: Bernama

Wakil Calon PH Machap Buat Laporan Polis Dakwa MB Johor Langgar Peraturan Kempen

SIMPANG RENGGAM, 9 Julai (Bernama) -- Wakil calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung dakwaan salah laku membabitkan pelajar sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Khiru Nasir Rohani mendakwa wujud usaha terancang untuk mempengaruhi pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan bagi menghadiri program bermotifkan politik untuk meraih sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN).

"Tindakan itu dipercayai melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 khususnya membabitkan elemen pengaruh tidak wajar dan penyalahgunaan kedudukan rasmi atau institusi pendidikan bagi tujuan kempen politik," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Simpang Renggam di sini.

Timbalan Ketua Kawasan Amanah Simpang Renggam itu juga meminta Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan siasatan menyeluruh demi memelihara integriti proses demokrasi.

Isu itu mula menarik perhatian selepas sekumpulan pelajar TVET didakwa diwajibkan menghadiri program di Kluang pada 4 Julai lepas, yang kemudian dikatakan dijadikan platform untuk berkempen secara terang-terangan bagi meraih sokongan pada PRN Johor ke-16.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.