Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PRN Johor: PAS Sedia Tampung Mana-mana Kerusi Diperlukan BN

PRN Johor
Gambar: FB Abdul Hadi Awang

PRN Johor: PAS Sedia Tampung Mana-mana Kerusi Diperlukan BN

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa keikhlasan dan kepercayaan lebih penting daripada sebarang jaminan rasmi dalam menentukan hubungan serta kerjasama politik antara PAS dan UMNO.

Beliau berkata, PAS tidak memerlukan sebarang jaminan bertulis atau komitmen rasmi bagi membantu UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026. Sebaliknya, hubungan yang dibina atas dasar keikhlasan menjadi keutamaan.

“Yang penting jaminan dari hati ke hati. Kalau bersumpah sekali pun, kalau tak ada hati, tak ada makna. Ikhlaslah maksudnya. Pas ikhlas nak bantu,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Grand Finale Perikatan Nasional (PN) sempena PRN Johor 2026 pada Rabu.

Mengulas mengenai kedudukan PAS di Johor, beliau mengakui parti itu tidak mempunyai pengaruh yang begitu kuat di negeri berkenaan.

Namun, katanya, PAS tetap komited membantu rakan politiknya dengan menumpukan sokongan di kawasan yang memerlukan.

“Memang kita tak kuat sangat di Johor, tetapi kita akan menampung mana-mana kerusi yang diperlukan oleh BN,” ujarnya.

Kenyataan Abdul Hadi itu hadir beberapa hari selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan bahawa sokongan PAS kepada BN pada PRN Johor tidak boleh dianggap sebagai jaminan akan wujudnya kerjasama politik antara UMNO dan PAS selepas pilihan raya.

Menurut Ahmad Zahid, BN menghargai pendirian serta sokongan yang dizahirkan oleh kepimpinan PAS.

Namun, ia tidak akan mempengaruhi pendirian UMNO dan BN dalam menentukan hala tuju atau sebarang bentuk kerjasama politik selepas hari pengundian pada 11 Julai.

“Kita tidak merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi kerjasama yang akan atau telah dibuat oleh UMNO khususnya dengan Pas.

“Kita menghormati pendirian mereka dan kita harap sokongan itu benar-benar menjadi kenyataan. Kita lihat di dalam kertas undi yang akan dibuka pada 11 Julai ini,” katanya.

Sumber:Awani