Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Setuju Kaji Semula Pelaksanaan E-invois, Caruman KWSP Pekerja Warga Asing

Caruman KWSP Pekerja Warga Asing
Kredit: Bernama

Kerajaan Setuju Kaji Semula Pelaksanaan E-invois, Caruman KWSP Pekerja Warga Asing

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk melaksanakan kajian semula terhadap pelaksanaan e-invois dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan pekerja bukan warganegara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata kajian itu antara lain adalah bagi menangguhkan pelaksanaan dua perkara berkenaan yang disifatkan membebankan golongan peniaga dan majikan.

“Permintaan terhadap dua perkara ini diusulkan BN (Barisan Nasional) sendiri dan terima kasih Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan serta semua Jemaah Menteri yang memberi sokongan dan dukungan terhadap saranan diutarakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Iskandar Puteri di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata keputusan kajian semula amat penting ketika negara berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis di Asia Barat.

Pelaksanaan e-invois bermula 1 Ogos 2024, yang merupakan satu usaha untuk memperkukuh pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala caruman wajib (mandatori) KWSP sebanyak dua peratus bagi pekerja bukan warganegara dilaksanakan bermula gaji Oktober tahun lepas.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas persetujuan untuk memberikan pelanjutan tempoh pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) selama 10 tahun.

Beliau menyifatkan langkah itu menujukkan keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.

“Ya TAR UMT itu ada kaitan dengan MCA, tapi keputusan ini penting kerana yang diterima masuk di situ bukanlah daripada anak-anak MCA sahaja, anak DAP pun ada, anak-anak Sabah dan Sarawak pun ada,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata institusi pengajian tinggi itu tetap perlu mengemukakan laporan kewangan dan audit tahunan mereka kepada Kementerian Kewangan.