Dikesan Alami Jangkitan Pada Jantung & Paru-Paru, Isma Aliff Kini Ditidurkan
Pelakon, pelawak dan penyanyi popular era 1980-an, Isma Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, 59, dilaporkan kini berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan di sebuah hospital.
Memetik Sinar Harian, perkhabaran itu sempat dikongsikan oleh salah seorang sahabat yang juga pelakon, Ebby Saiful Ali di akaun Facebook miliknya sebentar tadi.
“Mohon pada sahabat-sahabat sekalian untuk mendoakan kesihatan sahabat saya pelakon, pelawak dan penyanyi, Isma Aliff yang kini berada di hospital dan sedang ditidurkan.
“Semoga segera diberi kesembuhan, amin Ya ALLAH,” tulisnya.
Difahamkan, Isma Aliff menghidap jangkitan pada jantung dan paru-paru dan kini berada dalam keadaan kritikal.

BACA JUGA: Didakwa Seperti Dipukau, Tular Lelaki Berjalan Masuk Dalam Sungai
Sejak Jumaat lalu, Isma sudah berada di hospital selepas mendapat serangan angin ahmar.
Untuk makluman, Jaket Biru dan Sayang Ibu antara filem yang pernah dibintanginya.
Bukan itu sahaja, pada tahun 2000, beliau juga aktif dalam drama dan pernah berlakon dalam drama Romeo di bawah arahan Aziz M Osman.
Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada merupakan empat buah album yang pernah dihasilkan olehnya.
Datuk M Daud Kilau Meninggal Dunia
Terdahulu, industri seni tanah air digemparkan dengan pemergian penyanyi veteran, Datuk M Daud Kilau.
Berita duka itu disampaikan oleh cucu Allahyarham, Hasnor Ikram menerusi Instagram, lapor Bernama.
Difahamkan, penyanyi itu sebelum ini mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang pendengaran.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balah Baroh, Bagan Datuk pada hari ini.
Sumber: Sinar Harian