Siakap Keli
tiket konsert siti
Gambar: Facebook Siti Nurhaliza

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Laku Keras, “Sold Out” Dalam Tempoh Dua Jam

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Laku Keras, “Sold Out” Dalam Tempoh Dua Jam

KUALA LUMPUR  — Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta rekod apabila tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam.

Perkara itu dimaklumkan oleh beliau sendiri dalam satu hantaran di Facebook rasmi miliknya pada petang tadi.

“Alhamdulillah. Terima kasih dari lubuk hati terdalam,” tulisnya.

Dalam pada itu, dia turut memohon maaf kepada peminatnya yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket sejak dibuka pada jam 2 petang tadi.

“Maafkan saya kepada yang tak dapat membelinya. Saya minta maaf sedalam-dalamnya juga. Saya memahami ada yang mencuba dan tidak sempat mendapatkannya.

“Ada rezeki di persembahan yang lain nanti. Doakan saya,” maklumnya lagi.

Semalam, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan bakal mengadakan satu konsert pada tahun depan.

Penyanyi berusia 44 tahun itu dalam satu hantaran di Instagram semalam berkata, konsert mega berkenaan diberi nama Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza.

Menurut hantaran itu lagi, konsert dijadualkan akan diadakan pada 9 Mac 2024. Manakala, Axiata Arena dipilih sebagai lokasi konsert terbabit.

Pengumuman yang dinanti-nantikan itu nyata disambut baik oleh warga maya, khususnya peminat tegar penyanyi legenda itu.

BACA JUGA: Trend Motosikal Tiada Brek Belakang Semakin Membimbangkan

Selain para peminat, rakan-rakan dalam industri turut tidak ketinggalan berkongsi keterujaan masing-masing di ruang komen hantaran tersebut.

Antara artis yang turut membanjiri ruang komen adalah seperti Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Hael Husaini.

Will be there!!!! (Akan berada di sana),” komen penyanyi lagu Ku Bersuara, Ernie Zakri.

“Saya boleh tolong angkatkan beg dan sediakan air panas,” tulis penyanyi lagu Jampi, Hael Husaini dengan nada gurauan.

Sumber: Facebook Siti Nurhaliza

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?