Mayat Dalam Kereta Lebih Lima Hari, Saksi Diminta Tampil – Polis
Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta saksi kes penemuan mayat dalam sebuah kereta di Kota Damansara pagi semalam untuk tampil membuat laporan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 12.04 tengahari pada Ahad berkenaan kematian seorang lelaki.
“Siasatan awal mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
“Lokasi kejadian bertempat di kawasan parkir kenderaan, Jalan Teknologi 3/9, Kota Damansara, Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, lelaki tersebut dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada lima hari.
Sehubungan itu, beliau meminta saksi yang berada di lokasi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ketua Polis Balai Kota Damansara, Asisten Superintenden Mohd Nasir Mustapha di talian 01132052062,” jelasnya.
Terdahulu, para pengunjung dan peniaga di tapak jualan but kereta (car boot sale) di Kota Damansara dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki di dalam kenderaan pada pagi Ahad.
Menurut laporan, mayat lelaki terbabit dipercayai telah berbau busuk dan kembung.
Rakaman video awam menunjukkan orang ramai di sekitar lokasi kejadian mengerumuni kereta berkenaan, selain pihak polis turut berada di sana bagi menjalankan siasatan.
https://www.facebook.com/PolisDaerahPetalingJaya/posts/pfbid02sHZ6ffccJix4qjTkA7X6y5MuWf6wN9834bgbc7tU4Tb1nL2AWCvkGWxTN3CVkHRl
Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya/Facebook