Cara Mencapai Azam Baru Untuk Tahun Baharu
Bila dah penghujung tahun ni, pasti ramai yang sedang memikirkan azam tahun baru mereka, kan? Macam mana dengan azam tahun baru yang anda telah buat pada tahun lepas untuk tahun ini? Adakah anda berjaya mencapainya? Atau adakah anda tidak mencapainya?
Selalu sangat kita dengar kata-kata “New year, new me“, kan? Ia seperti anda sedang cuba mengubah diri anda pada setiap tahun dengan mencapai azam anda. Tapi, kebanyakan orang selalunya tidak dapat mencapai azam tahun baru mereka.
Jangan kata azam tahun baru, azam tahun-tahun yang lepas pun belum tentu anda ada yang dapat mencapainya. Sekiranya anda benar berjaya mencapai azam tahun baru, tahniah diucapkan kepada anda!
Tetapi, untuk yang tidak berjaya mencapainya, mungkin anda boleh ikuti perkongsian ini. Ia akan menjelaskan cara mencapai azam baru serta menjelaskan kesilapan yang anda mungkin telah lakukan ketika membuat azam tahun baru anda.
Cara Mencapai Azam Baru
Cari Matlamat Yang Spesifik
Setiap tahun, berjuta-juta orang akan mempunyai azam seperti mengurangkan berat badan, mahu menjadi lebih aktif, menjadi lebih produktif, meluangkan lebih masa bersama keluarga dan sebagainya. Namun, kebanyakannya sukar untuk mencapai matlamat mereka itu kerana ia terlalu umum.
Sebaliknya, anda perlu tetapkan satu matlamat yang spesifik. Anda boleh berazam untuk turunkan berat badan anda sebanyak 10 kilogram untuk tahun akan datang. Jadi, anda boleh senaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat anda.
Sekiranya anda berazam untuk menjadi lebih produktif, anda harus khususkannya untuk sesuatu perkara. Contohnya, anda mahu jadi produktif dalam hobi menulis anda. Anda boleh tetapkan berapa muka surat yang harus ditulis dalam masa seminggu atau dalam sehari.
Matlamat yang dibuat haruslah realistik dan bukannya satu perubahan secara drastik. Anda perlu mengambil masa dalam mencapat matlamat anda itu.
Bukan itu saja, apabila anda mempunyai matlamat yang khusus, ia dapat membantu anda untuk merancang apa yang anda perlu lakukan untuk mencapainya. Sekaligus, ia akan membuatkan anda untuk mengikut rancangan itu.
Hadkan Azam Tahun Baharu Anda
Walaupun anda mempunyai azam tahu baharu yang banyak, seorang profesor psikologi dari Universiti Hertfordshire, Richard Wiseman, mencadangkan untuk seseorang itu memilih satu saja azam tahun baharu mereka untuk mereka berikan tumpuan daripada menghabiskan tenaga mereka dengan azam yang banyak.
Sekiranya anda menggunakan seluruh tenaga anda untuk setiap azam yang anda ada, ia akan membuatkan anda rasa penat dengan lebih cepat dan anda berkemungkinan untuk give up dalam mencapai azam anda itu.
Sebaliknya, berikan tumpuan kepada satu azam terlebih dahulu. Apabila anda berjaya mencapai satu azam itu, tak kiralah ia azam yang kecil atau besar, ia dapat meningkatkan kepercayaan anda terhadap diri sendiri.
Anda juga boleh memecahkan azam atau matlamat anda yang besar kepada beberapa bahagian supaya anda dapat melakukannya satu demi satu.
Ambil Masa Untuk Merancang
Untuk yang masih belum mempunyai azam tahun baharu, anda jangan tunggu last minute baru nak berazam ya. Perancangan yang teliti mengenai matlamat anda serta perancangan untuk melakukan apa yang perlu untuk matlamat anda itu dapat membantu anda untuk mencapainya.
Sekiranya anda mulakan azam baharu anda itu tanpa sebarang perancangan, anda mungkin akan menghadapi masalah-masalah yang mungkin dapat membuat anda putus asa.
Contohnya, anda mahu kekal aktif, jadi anda memutuskan untuk melakukan aktiviti berlari tiga kali seminggu. Tetapi, bagaimana sekiranya anda terlepas beberapa hari ataupun anda terpaksa untuk tidak melakukannya kerana anda sakit?
Jadi, sebelum anda menjadi buntu kerana terdapat halangan dalam mencapai matlamat anda, adalah lebih baik sekiranya anda menulis matlamat itu serta apa yang perlu dilakukan untuk mencapainya. Anda juga boleh senaraikan halangan-halangan yang anda mungkin hadapi.
Apabila anda menyenaraikan segalanya, anda akan rasa lebih bersedia untuk mencapai azam tahun baharu anda itu.
Mulakan Dengan Langkah Kecil
Setiap kali anda mahu memulakan azam baharu anda, anda tidak perlu untuk terus melakukannya secara drastik. Jika anda mahu menurunkan berat badan, jangan terus gunakan kaedah diet yang terlalu strict ataupun berlari 20 kilometer untuk kekal aktif.
Sekiranya anda melakukan semua itu, ia akan membuat anda rasa terbeban dengan azam yang dibuat. Jadi, anda perlu mulakan azam anda dengan langkah yang kecil dulu. Untuk berdiet, anda boleh cuba mengurangkan kuantiti makanan anda sedikit demi sedikit ataupun cuba mengurangkan minuman manis.
Untuk yang mahu menjadi lebih aktif pula, anda boleh bermula dengan berjoging dua atau tiga kali seminggu. Anda juga boleh tetapkan masa selama 30 minit bagi setiap larian daripada menetapkan jarak yang perlu dilakukan.
Jangan Ulangi Azam Lalu
Kebanyakan orang yang tidak berjaya mencapai azam tahun baharu yang sudah dibuat pada tahun sebelumnya, pasti akan membuat azam yang sama untuk tahun yang baharu.
Menurut Profesor Richard Wiseman, “Sekiranya mereka rasa mereka boleh lakukannya, mungkin mereka memang boleh lakukannya. Tetapi sekiranya mereka sudah mencuba dan telah gagal, ia mungkin akan mengurangkan keyakinan diri mereka,”
Jika anda benar-benar mahu mencapai azam anda yang sebelum ini, anda perlu pastikan punca anda tidak dapat mencapai azam tersebut, strategi yang berkesan dan juga strategi yang tidak berkesan.
Apabila anda telah menyenaraikannya, anda boleh mengubah sedikit azam baharu anda supaya ia lebih mudah dilakukan oleh anda.
Jangan Terburu-Buru Untuk Berubah
Kita semua mempunyai tabiat-tabiat buruk yang sudah menjadi sebati dengan diri kita sudah bertahun lamanya. Untuk mengubah atau membuang tabiat itu akan mengambil masa. Jadi, anda tidak boleh memaksa diri anda untuk terus berubah secara drastik.
Anda perlu bersabar dalam proses mencapai azam baharu anda itu. Walaupun anda mungkin melakukan kesilapan ketika sedang mencuba untuk mencapai matlamat anda itu, anda masih boleh untuk memulakannya semula dan teruskan perjalanan anda itu.
Ia mungkin mengambil masa, tetapi anda perlu ingat bahawa anda mempunyai masa selama setahun untuk mencapainya. Anda perlu ingat bahawa ia bukanlah satu perlumbaan untuk anda menangi.
Mulakan dengan langkah yang pertama, kemudian teruskan dengan langkah yang seterusnya. Lama-kelamaan ia akan menjadi satu tabiat untuk anda lakukan sepanjang hidup anda.
Dapatkan Sokongan
Apa saja yang anda mahu lakukan, anda sudah semestinya memerlukan sokongan daripada rakan-rakan ataupun keluarga. Sokongan mereka untuk anda mencapai azam baharu anda amatlah membantu. Ini kerana, ia dapat memberikan semangat kepada anda dan akan memberikan rasa tanggungjawab untuk melaksanakan azam baharu anda itu.
Teruskan Beri Motivasi Kepada Diri Sendiri
Pada hari pertama untuk tahun baru, anda mungkin rasa bersemangat dan mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai matlamat anda. Ini disebabkan anda baru saja mahu bermula untuk melaksanakan azam baharu anda itu.
Tetapi, apabila anda sudah memulakannya dan mula menghadapi masalah seperti rasa penat untuk bangun awal pagi untuk mulakan larian, ataupun anda sudah mula rasa lelah untuk berdiet, anda mungkin akan rasa seperti semangat dan motivasi anda sudah goyah.
Jadi, setiap kali anda rasa begitu, anda perlu ingatkan diri anda tujuan anda mahu lakukan azam tahun baharu anda itu. Ada ingatkan diri sendiri tentang kebaikan yang anda akan dapat sekiranya anda dapat mencapai matlamat tahun baharu anda. Selain itu, anda juga boleh mencari sumber inspirasi supaya anda terus semangat.
Teruskan Mencapai Matlamat Anda
Kebiasaannya, apabila sudah tiba bulan Mac, kebanyakan orang mungkin sudah hilang semangat yang mereka ada pada bulan Januari. Untuk tidak mengalah dengan begitu cepat, anda perlu teruskan untuk mencapai matlamat anda tidak kiralah apa halangan yang anda tempuhi.
Sekiranya anda rasa apa yang dilakukan itu tidak berkesan, anda boleh fikirkan cara baru yang lebih efektif. Anda juga boleh menulis segala halangan dan perubahan dalam perancangan anda dalam sebuah jurnal.
Melalui jurnal itu, anda dapat melihat sejauh mana anda telah lakukan untuk mencapai matlamat anda. Ia juga boleh menjadi bukti bahawa anda sudah berjaya mencapai azam tahun baharu anda walaupun dengan segala halangan yang menimpa.
Membuat Perubahan Mengikut Kesesuaian
Tiada perkara yang mudah dalam dunia ini. Setiap perkara yang anda lakukan pasti akan ada cabarannya. Begitu jugalah dengan azam baharu anda. Ketika anda sedang cuba mencapai azam baharu itu, anda mungkin perlu menempuhi pelbagai cabaran.
Sesetengah orang akan terus berputus asa sekiranya mereka asyik menempuh cabaran. Untuk mengelak daripada anda berputus asa, jurnal yang digunakan untuk mencatat perjalanan anda boleh membantu anda.
Setiap kali anda menghadapi sesuatu halangan yang menghalang anda daripada mencapai matlamat anda, lihat semula kepada jurnal itu dan kenal pasti apakah masalah yang timbul itu dan bagaimanakan caranya untuk anda selesaikan masalah itu.
Anda mungkin perlu mengubah perancangan anda beberapa kali sehingga ia bersesuaian dengan keadaan anda. Jika anda rasa seperti berlari 10 kilometer setiap hari itu susah, anda mungkin boleh menukarnya kepada berlari dua kilometer dalam tiga hari seminggu. Dengan itu, anda boleh dapatkan enam kilometer seminggu. Ini mungkin dapat membantu anda untuk tidak rasa terbeban.
Cara-cara yang dinyatakan ini mungkin boleh membantu anda. Tapi anda perlu ingat, cara saja tidak cukup. Anda sendiri perlu menanamkan azam yang kuat supaya anda dapat mencapai matlamat tahun baru anda itu. Semuanya bermula daripada diri anda sendiri.
Semoga berjaya!
Sumber: verywellmind
BACA JUGA: Ini Senarai Ubat Perlu Dibawa Ketika Travel, Memudahkan Jika Sakit Nanti