Sushi Terkecil Di Dunia, Hidangan Unik Di Kedai Ini!
Zaman sekarang ini, makin lama, makin banyak senarai yang akan menggunakan perkataan “di dunia”. Contohnya, anjing tertua di dunia, hotel terkurus di dunia, anjing paling berat di dunia dan sebagainya.
Tidak pasti sama ada senarai itu benar-benar menjadi rekod dunia ataupun ia hanyalah gelaran yang diberi oleh orang ramai di media sosial. Yang pastinya, senarai ini semakin hari semakin banyak.
Kebiasaannya, orang ramai gemar untuk mengetahui mengenai senarai itu kerana ia ibarat satu hiburan untuk mereka. Ada juga yang mungkin mempunyai rasa kagum terhadap perkara-perkara yang tersenarai itu.
Makanan juga tidak terkecuali daripada senarai ini. Kalau nak tahu, terdapat sebuah restoran di Tokyo, Jepun yang dikatakan membuat sushi terkecil di dunia.
Restoran itu dinamakan Sushiya no Nohachi dan ia terletak di Asakusa, Tokyo. Ia merupakan sebuah kedai sushi yang perlu dikunjungi sekiranya anda mahu makan sushi terkecil di dunia. Setiap sushi itu dibuat dengan hanya menggunakan sebutir nasi sahaja.
Ia juga mempunyai topping yang dihiris halus serta dibalut dengan kepingan nori yang sangat kecil. Walaupun ia sangat kecil, sushi itu dibuat lengkap dengan bahan-bahannya.
Kalau anda nak tahu, sushi kecil comel ini telah dibuat oleh Hironori Ikeno yang merupakan chef di restoran itu. Pada mulanya, dia mendapat idea untuk membuat sushi terkecil itu pada tahun 2002 apabila seorang pelanggan telah bertanya kepadanya mengenai sekecil mana dia boleh membuat sushinya itu.
Dia menjawab, “sekecil sebutir nasi,” dan terus menunjukkan bahawa dia benar-benar mampu membuat sushi sekecil itu. Setelah bertahun berlalu, restoran itu telah menjadi terkenal kerana telah membuat sushi terkecil di dunia.
Sushi Terkecil
Saiz sushi yang amat kecil ini tidak bermaksud ia senang untuk dibuat. Sebaliknya, sushi ini mengambil masa yang agak lama untuk dibuat berbanding dengan sushi yang saiz biasa. Ini kerana ia memerlukan tumpuan yang penuh untuk meletakkan bahan-bahan sushi itu bersama-sama.
Oleh sebab itu, Sushiya no Nohachi hanya akan menghidangkan sushi kecil ini beberapa kali dalam seminggu dan tidak lebih daripada lima kali sehari. Tetapi, mereka akan membuat pengecualian terhadap pelancong luar yang berkunjung ke kedai mereka untuk merasai sushi terkecil itu.
“Saya ada seorang pelanggan dari Sweden yang datang ke hanya untuk melihat sushi terkecil saya dan apabila dia melihatnya, dia menangis gembira,” kata Hironori Ikeno kepada Play Tokyo.
Sungguhpun sushi yang comel itu terkenal, anda sebenarnya tidak boleh memesannya. Ia sebaliknya diberi secara percuma sekiranya anda memesan set hidangan sushi bersaiz biasa yang berharga 7,131.80 yen (RM231.66).
Kedai sushi ini bukan saja mempunyai sushi yang terkecil di dunia, ia juga dikatakan menghidangkan sushi yang amat sedap. Jadi, tidak hairanlah sekiranya anda perlu membeli set hidangan sushi itu untuk mendapatkan sushi kecil tersebut.
Sumber: Oddity Central
BACA JUGA: Hukum Letak Ayat Al-Quran Pada Gambar Yang Tidak Bersesuaian