Siakap Keli
gempa bumi jepun
Gambar: Japan Times

Gempa Bumi 7.5 Gegar Jepun, Amaran Tsunami Dikeluarkan

Gempa Bumi 7.5 Gegar Jepun, Amaran Tsunami Dikeluarkan

Gempa bumi yang berkekuatan 7.5 magnitud dilapor telah menggegarkan bahagian tengah Jepun pada hari ini.

Memetik AFP, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami dan menggesa orang ramai untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Sementara itu, NHK melaporkan bahawa amaran tsunami telah dikeluarkan untuk wilayah Ishikawa, Niigata, Toyama, Yamagata, Fukui dan Hyogo di sepanjang pantai Laut Jepun.

“Semua penduduk mesti berpindah segera ke tempat yang lebih tinggi,” kata NHK selepas gempa bumi melanda wilayah Noto di Ishikawa sekitar jam 4.10 petang waktu tempatan.

Dalam pada itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii memberi amaran bahawa ombak tsunami berbahaya mungkin berlaku dalam jarak 300 kilometer (190 batu) dari pusat gempa di sepanjang pantai Jepun.

Tsunami setinggi 1.2 meter disahkan telah tiba di bandar Wajima di wilayah Ishikawa.

Bagaimanapun, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata tsunami yang lebih tinggi iaitu setinggi lima meter dijangka akan melanda Noto, di wilayah yang sama.

BACA: Ini Sebab Kenapa Jepun Diiktiraf Sebagai Negara Paling Bersedia Hadapi Tsunami Di Dunia

Menurut JMA, Noto yang terletak di sebelah Laut Jepun di pulau utama Honshu mengalami gegaran berturut-turut bermula dengan gegaran 5.7 magnitud pada 4.06 petang waktu tempatan.

Ini diikuti dengan gempa bumi 7.6 magnitud pada 4.10 petang, 6.1 magnitud pada 4.18 petang, 4.5 magnitud pada 4.23 petang, 4.6 magnitud pada 4.29 petang dan 4.8 magnitud pada 4.32 petang.

Satu lagi gempa bumi dengan magnitud 6.2 melanda tidak lama kemudian.

Kejadian itu telah mendorong penyiar berita di Jepun untuk beralih kepada siaran khas dan membuat pengumuman agar penduduk di kawasan yang terlibat segera meninggalkan rumah masing-masing.

“Kami sedar rumah dan harta benda semuanya berharga untuk anda, tetapi nyawa anda adalah paling penting dari segala-galanya.

“Pergilah ke tempat yang paling tinggi,” kata seorang penyampai NHK kepada penonton.

Imbas kembali, Jepun sebelum ini menghadapi gempa bumi 9.0 magnitud pada Mac 2011 dan menyebabkan berlakunya tsunami.

Bencana itu telah mengorbankan ribuan penduduk dan telah menyebabkan tiga reaktor mengalami keruntuhan di loji nuklear Fukushima.

Sumber: AFP

Sofea

There's always another side to every story