Siakap Keli
harimau malaya peluang layak

Harimau Malaya Ada Peluang Layak Ke Pusingan Kalah Mati Piala Asia 2023

Harimau Malaya Ada Peluang Layak Ke Pusingan Kalah Mati Piala Asia 2023

Hanya tinggal sebelas hari lagi sebelum sepak mula Piala Asia 2023 dan 13 hari lagi Harimau Malaya bakal beraksi menentang Jordan. SepertiĀ  jadual yang dimuatnaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Malaysia bakal bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari 2024, jam 1.30 pagi waktu Malaysia.

Perlawanan kedua dijadualkan berlangsung pada 20 Januari 2024 pada jam 10.30 malam di Stadium Jassim Bin Ahmad. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan, skuad Kim Pan Gon bakal bertemu gergasi Asia, Korea Selatan pada 25 Januari 2024, jam 7.30 malam.

Format Piala Asia 2023

Format AFC Asian Cup 2023 ini mudah untuk difahami. Ada 6 kumpulan yang dibahagikan dari kumpulan A hingga F. Setiap kumpulan ada 4 pasukan dan setiap pasukan akan melalui tiga perlawanan di peringat kumpulan. Dua pasukan teratas kumpulan masing-masing akan layak terus ke pusingan 16 pasukan terbaik.

4 pasukan terbaik di tempat ketiga akan melengkapkan 16 pasukan di pusingan 16 terbaik (knock-out stage). Pusingan kalah mati akan berlangsung dari 28 Januari hingga 30 Januari 2024. Kemudian, setiap pemenang dari pusingan 16 terbaik (8 pasukan) akan berentap di suku akhir pada 2 dan 3 Februari 2024.

4 pemenang suku akhir akan bertemu di separuh akhir pada 6 dan 7 Februari 2024 dan perlawanan akhir AFC Asian Cup 2023 akan berlangsung pada 10 Februari 2024. Pemenang di perlawanan akhir bakal dinobat sebagai Juara Piala Asia 2023.

Malaysia sekurang-kurangnya perlu menduduki tempat ketiga terbaik untuk layak ke peringkat 16 pasukan terbaik. Tiada apa yang mustahil dengan semangat dan keazaman yang tinggi serta disiplin permainan mengikut perancangan, Malaysia mampu layak ke peringkat seterusnya.

harimau malaya peluang layak

4 Pemain Naturalisasi

Kim Pan Gon membawa 26 pemain ke kempen Piala Asia kali ini. Syihan Hazmi (JDT) selaku penjaga gol utama mendahului senarai diikuti dua lagi penjaga gol iaitu Sikh Izhan (Selangor FC) dan Azri Ghani (KL City). Antara pemain-pemain tonggak yang turut dibawa ke Qatar adalah Corbin Ong (JDT), Faisal Halim (Selangor FC), Ariff Aiman (JDT) dan Afiq Fazail (JDT).

Ini adalah barisan 26 pemain terbaik membawa nama Malaysia ke kejohanan paling berprestij di Asia. FAM melaporkan skuad Harimau Malaya sudah tiba di bumi Qatar pada Ahad dan diterbangkan khas oleh penaja penerbangan, Malaysia Airlines.

Romel Morales sebagai pemain yang terbaru mendapat kerakyatan Malaysia turut dipanggil ke Piala Asia dan dilihat giat berlatih bersama pemain lain. Malaysia membawa 4 daripada 8 pemain naturalisasi ke Piala Asia kali ini. Selain Romel, Paulo Josue, Sumareh dan Endrick melengkapi 26 pemain Harimau Malaya.

Semalam juga telah berlangsung latihan pertama skuad negara di Qatar University. Latihan turut disaksikan oleh Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin. Pemain nampak bersemangat dan bermotivasi tinggi melalui gambar-gambar yang dimuatnaik di Facebook FAM.

Peluang Untuk Layak

Bila ditanya Kim Pan Gon mengenai peluang Malaysia ke pusingan 16, Pan Gon berkata layak ke peringkat tersebut adalah sesuatu yang sangat indah. Namun, beliau tidak mahu meletakkan terlalu banyak sasaran yang boleh menganggu jurulatih dan pemain. Malaysia juga kini sedang melalui pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Walaupun begitu, Kim Pan Gon dan anak buahnya akan memberikan yang terbaik dan cuba layak ke peringkat kalah mati. Jika melihat kepada Piala Asia 2019, pasukan yang menduduki tempat kedua kumpulan mengumpul sekurang-kurangnya 6 mata untuk layak ke peringkat seterusnya.

Secara logiknya di sini, Malaysia perlu memenangi sekurang-kurangnya dua perlawanan untuk layak sebagai 16 pasukan terbaik. Sekiranya dulu tiada siapa percaya kita mampu layak ke Piala Asia dan kita telah melakukannya, kini mungkin tiada siapa jangka kita akan mampu lepasi peringkat kumpulan tapi kita boleh lakukannya. Hanya perlu percaya dan percaya.

Sumber: FAM

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)