Siakap Keli
Guru Pedalaman Kongsi Kisah 10 Tahun Perkhidmatan, Bentuk Jiwa Lebih Kental
Sumber: Muhammad Syauqi via Facebook

Guru Pedalaman Kongsi Kisah 10 Tahun Perkhidmatan, Bentuk Jiwa Lebih Kental

Guru Pedalaman Kongsi Kisah 10 Tahun Perkhidmatan, Bentuk Jiwa Lebih Kental

Orang kata, kerja di pedalaman ni tak pening kepala. Tapi, mengapa ramai yang menolak?

Orang kata, kerja di pedalaman ni elaunnya banyak. Tapi, mengapa ramai yang mengelak?

Menjadi seorang pendidik bergelar ‘guru pedalaman’ bukanlah suatu perkara yang mudah. Perjalanan penuh onak duri, liku dan pengorbanan ini dikongsikan oleh Muhammad Syauqi menerusi laman Facebook peribadi beliau.

“10 tahun perkhidmatan, 10 tahun di pedalaman. Dari zaman bujang, kemudiannya beristeri, kemudiannya punya 2 anak, aku masih memegang status ‘guru pedalaman’,” tulisnya.

Berdasarkan hantaran Facebook itu, Syauqi berkongsi kisah 10 tahun dedikasi hidupnya mengajar murid-murid di kawasan pedalaman.

Syauqi berkhidmat sebagai guru selama 10 tahun di kawasan pedalaman, iaitu lapan tahun di pedalaman Sarawak dan dua tahun di pedalaman Perak.

Semasa bertugas di pedalaman Sarawak, masalah talian telefon, internet perlahan dan terputus bekalan air sudah buatkan beliau ‘lali’ dan terbiasa.

Beliau pernah bermalam di tengah hutan apabila tayar motosikalnya pancit di pertengahan jalan.

“Ini bukan cerita tidur dalam kereta atau khemah. Ini tidur atas tanah merah dalam pekat malam, sambil hujan turun mencurah.

“Penat punya fasal setelah berjalan kaki hampir 11 jam melalui jalan balak dari Lusong Laku nak pulang ke sekolah,” katanya.

Selain itu, beliau serta keluarga juga pernah bergelap dan berpanas selama seminggu kerana generator tidak berfungsi.

Di pedalaman Perak pula, beliau pernah “tersangkut” kira-kira tujuh jam bersama isteri dan anak kecil di tengah hutan sebelum mendapatkan bantuan rakan.

Hidup di pedalaman ajar jadi kental, tapi kena ada ‘jiwa’

Menurut Syauqi, perkongsian kisah beliau sebagai guru pedalaman bukanlah untuk mendapatkan pujian atau sanjungan, mahupun menceritakan peritnya hidup di pedalaman.

Namun, beliau ingin berkongsi bahawa hidup di pedalaman sebenarnya banyak membentuk jiwanya menjadi lebih kental.

“Jika aku tidak berada di pedalaman, mungkin aku takkan jadi seorang yang kental seperti hari ini,” katanya.

Bila duduk di pedalaman, beliau banyak belajar mensyukuri nikmat yang ada di depan mata dan kebergantungan kepada Maha Pencipta.

Kadang juga, situasi di pedalaman boleh membahayakan nyawa. Ini menjadikan beliau lebih berani untuk berdepan dengan sesuatu cabaran dan bersiap sedia dengan sebarang risiko dan kemungkinan.

Terlalu banyak perkara yang membuka mata beliau di pedalaman. Termasuklah semangat setia kawan bersama rakan-rakan yang dianggap seperti keluarga serta belajar erti kehidupan melalui anak murid dan penduduk tempatan.

Kata Syauqi, hakikatnya, hidup di pedalaman perlukan ‘jiwa’. Tanpanya, seseorang takkan bertahan lama.

BACA: Makanan Tradisi Malaysia, CIA Kongsi Fakta Nasi Lemak Raih Tumpuan Ramai

Sumber: Muhammad Syauqi via Facebook

Sharifah Hannah Adibah