Siakap Keli
22 perubahan kbs

Genap Setahun, Ni 22 Perubahan Dibuat KBS Yang Ramai Orang Suka

Genap Setahun, Ni 22 Perubahan Dibuat KBS Yang Ramai Orang Suka

Selain ‘turun padang’ meninjau keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, apa je yang YB Hannah Yeo dan YB Adam Adli buat sejak pegang KBS setahun ni?

SOALAN macam ni mesti banyak kali bermain dalam kepala kan? Sejak setahun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diterajui oleh mereka, rasanya apa yang KBS dah buat untuk belia dan sukan negara kita ye?

Kalau korang nak tahu, bukan satu, dua, tiga dan empat je tau benda yang KBS buat dekat setahun ni, tapi ada 22 perubahan! Dan kesemua 22 perubahan tu telah pun berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Menariknya, apa yang KBS buat ni bukan semata-mata perkara fizikal macam ‘mencantikkan’ stadium je tau, tapi ia jauh lebih besar hingga melibatkan ekosistem sukan, merakyatkan sukan, merakyatkan fasiliti KBS sampailah memperkasakan belia.

Jom kita tengok di bawah apa 22 perubahan KBS sepanjang sembilan bulan dari Disember 2022 sampailah September 2023. Min ceritakan ikut bulan ye:-

Memperkukuhkan ekosistem sukan

1. Menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC)

Jun 2023 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan HLC buat kali pertama pada Jun lalu membincangkan isu berkaitan sukan tempur, renang dan olahraga, selain keperluan untuk mengamalkan pendekatan menyeluruh pembangunan sukan melibatkan kerjasama antara KBS, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

2. Memudah cara penganjuran acara sukan

Mac 2023 – Mungkin ada yang tak perasan, KBS dah umumkan bahawa semua acara sukan tempatan yang dianjurkan oleh persatuan dan kelab sukan yang berdaftar bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 tak perlu lagi dapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan!

Antara detik menarik KBS tahun ini | Gambar: IG KBS

3. Menambah bilangan sukan kepada 103

Mac 2023 – Sebanyak 103 sukan telah disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta 576 berbanding dengan hanya 51 sukan sahaja sebelum ini. Lebih kurang sekali ganda tu!

4. Mengklasifikasikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah

Jun 2023 – Sukan tempur kini diklasifikasikan sebagai aktiviti sukan dan bukan lagi aktiviti badan beruniform sekolah. Ia bertujuan memastikan atlet sukan tempur di sekolah mendapat pengiktirafan yang sama dengan sukan lain, selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

5. Membantu konservasi Harimau Malaya

Mac 2023 – Bukan sekadar nama skuad bola sepak kebangsaan, KBS juga menitik beratkan usaha pemuliharaan Harimau Malaya sebagai haiwan ‘warisan’ negara yang mengalami ancaman kepupusan dengan menyumbangkan RM1 daripada setiap pembelian tiket perlawanan membabitkan Harimau Malaya.

6. Melancarkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG)

Jun 2023 – KBS pada Jun lalu mengeluarkan satu garis panduan untuk pihak berkepentingan dalam e-sukan, bertujuan untuk membangunkan peraturan, hak dan tanggungjawab yang lebih besar dalam industri e-sukan.

Antara detik menarik KBS tahun ini | Gambar: IG KBS

7. Memaparkan peruntukan yang diluluskan

Mei 2023 – Nak tahu macam mana status permohonan peruntukan yang dah diluluskan? Kini semuanya sudah dipaparkan dalam laman web yang dilancarkan KBS, iaitu maklumat berhubung jumlah pembiayaan yang dipohon oleh Persatuan Sukan Kebangsaan serta program yang dilaksanakan berdasarkan pembiayaan yang diluluskan.

8. Membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan

Julai 2023 – KBS pada Julai lalu mengumukan penubuhan Jawatankuasa Pertikaian Sukan (SDC) bagi mendengar dan menyelesaikan konflik berkaitan ahli pertubuhan sukan serta pertubuhan sukan itu sendiri.

9. Membentuk Jawatankuasa Road to Gold (RTG)

Mac 2023 – KBS juga mengumumkan pada Mac lalu penubuhan Jawatankuasa Road to Gold (RTG), bertujuan menyelaraskan usaha negara ke arah mendapatkan pingat emas Olimpik pertama untuk Malaysia. RTG meliputi dua kitaran Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

10. Menganjurkan KBS Open Day

Februari 2023 – Selain itu, kini KBS mengadakan KBS Open Day pada setiap bulan. Bersifat sebagai pusat sehenti atau ‘one-stop centre’, ia adalah salah satu langkah mengurangkan birokrasi dan membolehkan orang ramai mendapatkan kemudahan perkhidmatan yang disediakan kementerian dengan lebih mudah!

Antara detik menarik KBS tahun ini | Gambar: IG KBS

11. Membangunkan Kod Sukan Selamat

Mac 2023 – Kod Sukan Selamat pula diperkenalkan sebagai garis panduan mewujudkan persekitan sukan selamat yang menekankan peranan serta tanggungjawab semua pihak dalam menangani gangguan dan penderaan.

12. Mewajibkan kehadiran pegawai pengiring mengiringi atlet negara

Februari 2023 – Kini mana-mana atlet negara yang terlibat dalam pertandingan antarabangsa akan wajib diiringi pegawai pengiring sebagai langkah keselamatan dan kesediaan kemudahan mereka.

Merakyatkan sukan

1. Mewujudkan direktori fasiliti sukan

April 2023 – Lebih 1,000 fasiliti sukan yang dimiliki dan dikendalikan KBS di seluruh negara kini disenaraikan dalam direktori. Ia bertujuan memudahkan orang ramai serta persatuan sukan kebangsaan mengakses dan mengenal pasti kemudahan sukan yang terletak berhampiran.

2. Menjalankan Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang

Mei 2023 – Nak belajar renang tapi belum mampu? KBS ada menawarkan kelas renang percuma kepada kanak-kanak B40 sebagai usaha menangani kejadian lemas yang terjadi dalam kalangan golongan itu. Ia sudah pun berjalan di 54 lokasi di seluruh negara.

3. Menyediakan Program Skrin Besar

Januri 2023 – Mungkin ada yang tak mampu langgan siaran berbayar nak layan bola? Kini orang ramai boleh menyaksikan acara sukan secara langsung melalui paparan skrin besar yang disediakan oleh KBS di lokasi-lokasi terpilih.

Antara detik menarik Harimau Malaya tahun ini | Gambar: IG KBS

4. Memperluaskan jualan Sukan Rahmah

Ogos 2023 – Sebelum ni mungkin susah nak bersukan sebab tak mampu nak beli peralatan sendiri. Tapi pada Ogos lalu, KBS telah melancarkan inisiatif Sukan Rahmah di mana orang ramai boleh membeli barangan sukan diidamkan pada harga mampu milik.

Memperkasa belia

1. Memberi nafas baharu Rakan Muda

Jun 2023 – KBS menyuntik nafas baharu buat Rakan Muda dengan 10 Gaya Hidup yang direka bagi menarik minat belia, merangkumi dua gaya hidup baharu iaitu Rakan Demokrasi dan Rakan Litar. Ia bertujuan menggalakkan belia melibatkan diri dalam aktiviti yang produktif.

2. Melancarkan Sekolah Rukun Negara

Mei 2023 – Sekolah Rukun Negara yang dilancarkan KBS bertujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia. Ia termasuklah Perlembagaan Persekutuan, Parlimen, proses pilihan raya, prinsip Rukun Negara, pilihan raya dan kerajaan tempatan.

Merakyatkan Fasiliti KBS

1. Membuka fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia

Julai 2023 – Sesuatu yang agak menarik kita semua dengar tahun ini adalah fasiliti di bawah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kini sudah dibuka kepada sekolah untuk hari sukan mereka! Stadium yang disediakan untuk sekolah ialah Stadium Nasional Bukit Jalil, Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara.

Antara detik menarik atlet negara tahun ini | Gambar: Bernama

2. Melancarkan inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti

Ogos 2023 – 1 Sukan 1 Fasiliti pula adalah inisiatif KBS untuk dapatkan tempat latihan kekal bagi persatuan sukan kebangsaan dengan matlamat nak bangunkan prestasi serta bakat dalam sukan.

3. Menyediakan penginapan Youth Capsule

September 2023 – Belum mampu menyewa bilik sebab ‘luar bajet’? Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence adalah pilihan terbaik untuk belia yang sedang menjalani latihan industri, sedang mencari kerja atau mereka yang bekerja tapi tiada tempat tinggal dengan harga serendah RM10 sehari!

4. Menawarkan Perkhemahan Keluarga

September 2023 – Agensi di bawah KBS, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) menawarkan tapak Kem Wawasan untuk menggalakkan aktiviti perkhemahan keluarga. Ia bertujuan menggalakkan keluarga meluangkan masa berkualiti bersama-sama sambil mempromosikan keseimbangan kehidupan bekerja.

Itulah 22 perubahan yang telah pun KBS jayakan sepanjang tempoh setahun ini. Amacam, banyak dan bermanfaat untuk ramai orang kan? Bukan belia je, malah golongan B40, remaja, kanak-kanak, keluarga, semua dapat menikmati bermacam-macam kelebihan yang berhubung dengan aktiviti sukan serta gaya hidup sihat!

Jadi kalau nak tahu apa yang akan dibuat lagi pada masa akan datang, janganlah lupa untuk ikuti kementerian ini di laman web atau semua platform media sosial KBS sekarang!

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'