Gangguan Bekalan Air Pulau Pinang: Ini 14 Fasiliti Lebuhraya Terlibat
Seperti yang dimaklumkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada Disember lalu, negeri itu akan mengalami gangguan bekalan air.
Menurut makluman, gangguan bekalan air itu berlangsung selama empat hari bermula dari 10 Januari hari ini sehingga 14 Januari kelak.
Difahamkan gangguan bekalan air itu berlaku ekoran pelaksanaan kerja-kerja pembaikan paip di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Pulau Pinang.
Sehubungan dengan tugas-tugas penyelenggaraan tersebut, PLUS Malaysia Berhad mengumumkan senarai beberapa fasiliti lebuhraya yang terlibat termasuk plaza tol, rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan restoran jejantas.
Fasiliti yang telah disenaraikan ialah Kawasan Rehat dan Rawat Juru (Arah Selatan), Hentian Sebelah Juru (Arah Utara), Hentian Sebelah Sg. Bakap (Arah Selatan), Hentian Sebelah Sg. Bakap (Arah Utara), Hentian Sebelah Sg. Muda (Arah Utara) dan juga Restoran Jejantas (OBR) Penanti.
Turut disenaraikan ialah plaza-plaza tol seperti Plaza Tol Bertam, Plaza Tol Sg. Dua, Plaza Tol Juru, Plaza Tol Bukit Tambun Selatan, Plaza Tol Bukit Tambun Utara, Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Plaza Tol Kubang Semang dan Plaza Tol Jawi.
BACA JUGA: Hukum Baring Di Dalam Masjid, Ini Jawapan Dr Zulkifli
Sehubungan itu, PLUS Malaysia akan turut menyediakan bantuan bekalan air bagi kegunaan para pengguna sepanjang tempoh ia berlaku.
Pihak PLUS Malaysia turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan mereka dengan baik supaya dapat berehat dan mendapatkan kemudahan dengan selesa.
Untuk pengetahuan anda, berdasarkan kenyataan oleh PBAPP, penyelenggaraan itu dilakukan berikutan kebocoran injap yang telah menjejaskan operasi pengepaman air terawat di Loji Rawatan Air dan telah menyebabkan kehilangan air yang ketara.
Penyelengaraan itu akan menggantikan injap 1,200 milimeter dalam saluran paip air terawat utama LRA yang bocor.
Selain itu, penyelenggaraan juga akan menggantikan satu lagi injap 1,200 milimeter yang juga bocor dalam saluran paip air terawat utama berhampiran dengan pagar Loji Rawatan Air.
Sumber: PLUS Malaysia Berhad via X