Siakap Keli
pencipta trofi piala asia
Gambar: Thomas Lyte & KARIM JAAFAR/AFP

Kenali Pencipta Trofi Piala Asia AFC 

Kenali Pencipta Trofi Piala Asia AFC 

Setiap kejohanan bola sepak mempunyai trofi tersendiri. Lebih menarik, setiap daripada trofi itu mempunyai reka bentuk, berat dan saiz yang berbeza.

Ini menjadikan mana-mana pasukan di peringkat nasional mahupun kelab mengimpikan trofi kejuaraan. Setiap trofi ini mempunyai identiti dan simbolik lebih-lebih lagi dalam dunia sukan bola sepak.

Di Benua Asia, kejohanan tertinggi bagi bola sepak adalah Piala Asia (AFC). Apa yang menarik mengenai kejohanan ini adalah keunikan trofinya. Demam piala ini sudah menghantui peminat bola sepak di seluruh Asia bermula 12 Januari lalu di Doha, Qatar.

Jadi, tanpa membuang masa, mari terokai mengenai trofi terulung di Asia ini dan siapakah perekanya?

Sejarah Piala Asia AFC 

Gambar: Thomas Lyte

Piala Asia AFC merupakan salah satu kejohanan paling berprestij dalam sukan bola sepak Asia. Tidak dinafikan, kejohanan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak di Asia.

Ia menjadi kejohanan antarabangsa kedua tertua bagi bola sepak selepas Piala Dunia FIFA dan telah diperkenalkan sejak tahun 1956.

BACA: Kenapa Penjaga Gol Minum Air Lepas Gol Dibolosi? Ini Sebabnya

Dalam pertandingan sulung berlangsung di Hong Kong, ia hanya melibatkan empat pasukan, tuan rumah (Hong Kong), Vietnam Selatan, Israel dan Korea Selatan yang muncul juara pada kejohanan tersebut.

Pada 2007, kejohanan ini telah dianjurkan dengan lebih daripada dua tuan rumah iaitu Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Thailand. Secara automatik ia menjadikan kesemua empat negara itu turut mengambil bahagian dalam kejohanan. Perkara ini menjadikan Piala Asia semakin berkembang pesat.

Gambar: Thomas Lyte

Kali terakhir kejohanan ini dilangsungkan pada 2019 di Emeriah Arab Bersatu (UAE), ia telah menarik minat 45 negara dan menampilkan 24 pasukan terbaik bagi mengintai peluang merebut trofi.

Pada 2023, Qatar dipilih sebagai tuan rumah dan sudah membuka tirai perlawanan menentang Lubnan pada Jumaat lalu.

Hingga sekarang ia menjadi salah satu kejohanan paling popular dalam kalendar sukan bola sepak. Kejohanan ini diadakan empat tahun sekali sama seperti Piala Dunia.

Jadi Siapakah Perekanya?

 Pereka Piala Asia AFC
Gambar: Thomas Lyte

Trofi ini telah direka oleh Thomas Lyte, iaitu Pemegang Waran Diraja sebagai tukang perak dan tukang emas kepada Duli Yang Maha Mulia Permaisuri. Ini kerana syarikat itu telah diumumkan sebagai pereka kepada piala kedua berprestij itu.

Thomas Lyte berpengalaman dalam mereka bentuk dan membaik pulih kembali pelbagai trofi berprestij bola sepak termasuk Piala FA Emirates.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasasnya, Kevin Baker berkata, Piala Asia AFC adalah luar biasa dari segi visi, reka bentuk revolusioner dan kesukarannya.

Gambar: Thomas Lyte

“Di Thomas Lyte, kami telah menghasilkan banyak trofi berprestij di seluruh dunia tetapi idea mencipta Piala Asia AFC adalah sesuatu yang unik. Ini kerana karya seninya diilhamkan oleh art-deco dengan rekaan organik dan gaya moden,” katanya.

BACA JUGA: Hamdan Senario Meninggal Dunia

 Pereka Piala Asia AFC
Gambar: Thomas Lyte

Syarikat ini juga telah berkolaborasi dengan beberapa organisasi besar dalam bola sepak dunia. Oleh itu, tidak perlu disangkal kredibilitinya dalam menghasilkan piala yang berkualiti.

“Selain Piala Asia AFC, kami adalah pereka dan pembuat trofi Anugerah Pemain Terbaik AFC. Kami juga berbesar hati untuk menjadi pembuat Piala FA Emirates sebagai sebahagian daripada perkongsian kami dengan FA.

“Kami turut mencipta trofi Liga Juara-Juara CONCACAF, satu lagi hadiah bola sepak global yang paling diidamkan,” maklum Thomas Lyte.

Piala yang dibuat di kota London itu dipersembahkan di menara ikonik, Burj Khalifa pada 2018.

Reka Bentuk Piala Asia AFC

 Pereka Piala Asia AFC
Gambar: Thomas Lyte

Piala Asia diilhamkan dari bunga teratai yang menjadi simbolik kepada keamanan di Asia. Lima kelopak pada piala mewakili lima konfederasi dalam Asia.

Ia mempunyai ketinggian 78 sentimeter (cm) dan lebar 42 cm dan dihasilkan oleh 12 orang pakar pertukangan dengan penuh teliti sebelum diserahkan kepada pemenang.

Piala Asia AFC mempunyai berat 15 kilogram (kg) dan diperbuat daripada perak sterling terkenal.

 Pereka Piala Asia AFC
Gambar: Thomas Lyte

Difahamkan, tempoh pembuatannya mengambil masa selama 400 jam menggunakan teknik tukang perak tradisional termasuk bantuan teknologi terkini.

Tempoh membentuk kelopak itu juga mengambil masa 230 jam untuk memalu dengan tangan. Jadi, tidak hairan mengapa ukiran dan reka bentuk piala ini salah satu yang paling menarik dalam sukan global.

Sumber: Thomas Style

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?