Ini Kenyataan Yayasan Nurjiwa & Siti Nurhaliza Tentang Isu Konsert
Penganjur konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza hari ini tampil memuat naik satu kenyataan berkenaan konsert tersebut.
Kenyataan berkenaan dimuat naik menerusi laman Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza (@ctdk) sebentar tadi.
“Pertama sekali, Yayasan Nurjiwa secara khususnya dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Sahibus Samahah Datuk Seri Mufti.
“Keprihatinan serta pandangan Datuk Seri amat-amat kami hormati dan hargai. Terima kasih Datuk Seri,” tulis kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya sedia maklum berkenaan tarikh penganjuran konsert berkenaan yang hampir dengan permulaan Ramadan.
Kata kenyataan itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan secara rasmi penganjuran konsert tersebut.
Isu konsert, ini kenyataan Siti Nurhaliza
Konsert berkenaan pula dijadualkan akan diadakan di Axiata Arena, Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Sejak diberikan tarikh penganjuran konsert oleh pengurussan Perbadanan Stadium Nasional, kami di Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac menghampiri 1 Ramadan (12 Mac).
“Kami di Yayasan Nurjiwa juga telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami,” kata kenyataan itu.
Menurut Yayasan Nurjiwa lagi, pihaknya sebenarnya telah membuat tempahan sejak awal 2023 lagi.
Bagaimanapun tarikh yang sepatutnya tidak dapat dilaksanakan dan memohon penangguhan kepada tarikh yang baru.
“Namun, memahami matlamat dan objektif utama penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza membuatkan kami mengambil keputusan secara konsesus untuk meneruskannya” kata kenyaataan itu lagi.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut menjelaskan bahawa konsert tersebut bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan semata-mata.
Sebaliknya ia demi membantu lima kluster kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh yayasan tersebut.
Konsert akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan
Lima kluster tersebut adalah kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin.
“Segala hasil kutipan tiket daripada pementasan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan disalurkan ke lima-lima kluster berkenaan.
“Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa akan meneruskan kerja-kerja kebajikan lain seperti tradisinya setiap kali kehadiran bulan Ramadan dan Syawal dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Matlamat yang kami ingin lakukan memandangkan selepas konsert, bulan Ramadan dan Syawal adalah bulan aktif bagi aktiviti amal yang telah kami lakukan sebelum ini.
“Justeru, matlamat penganjuran konsert ini sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan sekali gus amat diyakini akan mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk saudara-saudara kita di Palestin.
“Kami juga mempunyai program khas sedekah Nur Muhammad yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam masa yang sama, yayasan itu juga menjelaskan penundaan konsert berkenaan akan memberikan implikasi kepada banyak pihak. Antaranya kepada kumpulan produksi dan Perbadanan Stadium Nasional sendiri.
“Bahkan apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak dapat disalurkan dengan kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima sumbangan,” kata kenyataan tersebut.
Menurut yayasan itu, mereka berharap kenyataan berkenaan akan menjawab segala persoalan dan kegusaran semua pihak.
BACA: Gaji Minimum Bersih Malaysia Ditangga Ke-59 Daripada 67 Negara – Kajian
Sumber: Instagram/ Siti Nurhaliza