Siakap Keli
kos haji naik
Gambar: Bernama

Kos Haji Muassasah Naik Kepada RM33,300

Kos Haji Muassasah Naik Kepada RM33,300

KUALA LUMPUR — Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan kos Haji bagi jemaah Muassasah tahun ini meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman dalam satu sidang media sebentar tadi.

Difahamkan, kos tersebut meningkat sebanyak lapan peratus.

“Tabung Haji akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar untuk bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 pada tahun ini walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat haji.

“Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun ini meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lepas,” katanya.

Sehubungan itu, TH menetapkan kadar bayaran haji untuk seorang bakal jemaah Muassasah haji B40 yang pertama kali menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356 seorang.

Tambah Syed Hamadah, kadar tersebut telah mengambil kira keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap bakal haji B40. Kerajaan juga akan menanggung sebanyak RM1,000 bagi seorang bakal haji B40.

BACA: Lebih 1.2 Juta Orang Dah Daftar PADU

“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.

“Berbanding dengan tahun lepas, Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM19,870 atau bersamaan 64 peratus daripada kos haji tahun lepas,” maklumnya.

Manakala kadar bayaran seorang jemaah Muassasah haji M40 yang pertama kali pula adalah RM19,152.

” Ini bermakna, bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau bersamaan 42 peratus daripada kos keseluruhan haji.

“Berbanding dengan tahun lepas, Bantuan Kewangan Haji untuk kumpulan M40 adalah sebanyak RM14,870 bersamaan dengan 48 peratus daripada kos keseluruhan haji,” ucapnya dalam sidang tersebut.

Bagi golongan T20 pula, mereka perlu membuat bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu RM33,300 seorang.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka perlu membayar secara penuh kos tersebut.

Walau bagaimanapun, ia dikecualikan kepada rayuan sebagai mahram kepada jemaah, rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia atau pembantu kepada jemaah kurang upaya.

Pada 2023, seramai 500 orang jemaah dari kalangan B40 dan M40 telah menolak bantuan secara penuh atau sebahagiannya.

Sumber: Astro Awani

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?