Siakap Keli
Gambar: yatulhakim via TikTok

Bosan Makan Ayam? Cuba Resipi Telur Bistik Ini Pula!

Bosan Makan Ayam? Cuba Resipi Telur Bistik Ini Pula!

Hidangan paling mudah untuk dimasak adalah hidangan berasaskan telur. Paling mudah? Pecahkan saja sebiji telur ke dalam kuali dan gorengkan. Siaplah telur mata kerbau!

Tak nak telur mata kerbau? Pecahkan telur dalam mangkuk, letakkan sedikit garam, kacaukan telur bersama garam kemudian goreng. Haa, jadilah telur dadar.

Selain daripada dua hidangan yang amat mudah itu, telur ini kalau tambah bahan-bahan lain, ia akan jadi hidangan lain. Letaklah sambal, jadilah telur sambal. Bila anda letak kicap jadi telur masak kicap. Sama juga macam ayam, kan?

Tapi, sekali-sekala nak juga mecuba pula resipi lain untuk masak telur, kan? Barulah anda mempunyai resipi yang pelbagai untuk dimasak nanti. Nak dikongsikan, resipi telur bistik!

Bahan-Bahan

Bahan-bahan untuk menggoreng telur adalah telur sebanyak dua butir, satu sudu sos ikan, sedikit air dan sedikit air tepung jagung.

Untuk kuah telur bistik pula, anda perlukan dua ulas bawang putih yang diketuk, setengah bawang besar yang dihiris kasar, dua sudu besar cili kisar dan seketul isi ayam yang dipotong kecil.

Anda juga akan perlukan dua sudu besar sos cili, satu sudu besar sos tomato, satu sudu besar sos tiram, sedikit air, lobak merah yang dipotong kecil, kubis bunga yang juga dipotong, sedikit sos ikan dan juga lada benggala. Kalau anda tah mahu letak lada benggala pun boleh.

Cara-Cara Membuatnya

Mula-mula, anda pecahkan dua biji telur ke dalam mangkuk dan masukkan sedikit sos ikan dan juga air tepung jagung. Kacaukan dan gorengkan telur itu. Setelah digoreng, anda angkat telur dan letakkan di pinggan.

Kemudian, gunakan lebihan minyak menggoreng telur tadi untuk tumiskan bawang putih dan bawang merah. Tumis sehingga naik bau dan barulah anda masukkan cili kisar. Tumiskan cili kisar untuk seketika.

Seterusnya, anda masukkan pula isi ayam dan digaulkan bersama cili kisar. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram serta sedikit air untuk jadikannya berkuah. Gaulkan bahan-bahan tersebut.

Selepas itu, anda masukkan juga lobak merah, kubis bunga, lada benggala dan juga sedikit sos ikan. Gaulkan sehingga sekata.

Apabila kuah siap dimasak, anda tuangkan ke atas telur yang sudah digorengkan tadi dan hidangkan. Bila dah siap dimasak dan dihidangkan itu, boleh lah anda menjamu selera!

Sumber: yatulhakim via TikTok

BACA JUGA: Dijadikan Kuih Terbaik Di Dunia, Karipap Dapat Tempat Ke-5!

Nurul Alya