Siakap Keli
Gambar via Nizam Abd Razak / GSC

‘Bismillah’ Dalam Mechamato Movie Bahasa Jepun Ditukar, Ini Kata CEO

‘Bismillah’ Dalam Mechamato Movie Bahasa Jepun Ditukar, Ini Kata CEO

Sesiapa saja yang telah menonton filem Mechamato Movie yang ditayangkan sebelum ini di Malaysia pasti akan tahu mengenai salah satu babak ikonik dalam filem itu.

Babak yang dimaksudkan adalah babak di mana watak Maskmana telah menyebut Bismillah sebelum bertarung dengan watak Grakakus.

Babak itu mengundang rasa goosebump kepada sesiapa saja yang menonton filem tersebut. Rata-rata yang telah menontonnya menggemari babak tersebut.

Tetapi, dengan tayangan Mechamato Movie dalam bahasa Jepun pula, perkataan Bismillah itu telah ditukarkan.

Daripada Bismillah Ke Kakugo Shiro

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studio iaitu Mohd Nizam Abdul Razak, beliau mengatakan, “Dalam versi bahasa Jepun, Bismillah digantikan dengan Kakugo shiro atau dalam bahasa Inggeris prepare yourself,”

Katanya, mereka semua hanya mengetahui mengenai pertukaran itu beberapa hari sebelum tayangan perdana bermula.

“Kami sendiri baru mengetahui tentang perkara ini beberapa hari sebelum tayangan premiere tempoh hari.

“Tiada apa yang dapat dilakukan kerana proses recording memerlukan masa yang lama untuk diatur,” katanya.

Menurut beliau lagi, apabila ditanya kepada pasukan dubbing di Jepun mengapa Bismillah tidak dikekalkan, mereka menjawab bahawa Kakugo shiro lebih sesuai digunakan untuk penonton Jepun supaya mereka dapat memahami konteks babak ikonik itu.

“Saya faham keputusan mereka tapi saya juga faham adegan ini merupakan highlight dalam Mechamato Movie,” katanya dalam hantaran itu.

Menerusi hantaran itu, pihak Animonsta Studio juga memaklumkan sudah menghubungi studio rakaman dan pelakon suara di Jepun.

“Selepas mengetahui tentang perkara ini, kami terus menghubungi recording studio dan pelakon suara.

“InsyaAllah ianya akan kembali ke ‘Bismillah’ tetapi tidak sempat untuk versi tayangan di Malaysia yang bermula 25hb Januari ini,” tambahnya lagi.

Tetapi anda semuah janganlah bersedih, kerana menurut hantaran itu lagi babak ikonik tersebut akan kembali menggunakan Bismillah dalam keluaran yang akan datang di platform yang lain.

Sumber: Nizam Abd Razak via Facebook

BACA JUGA: Wanita Beli Udara Bandung & Jakarta, Siap Buat ‘Review’

Nurul Alya