Siakap Keli
kopi dukung konsep perniagaan
Gambar: abgkopidukung via TikTok

Kreatif & Menarik, Abang Ni Jual Kopi Dukung Lain Dari Yang Lain

Kreatif & Menarik, Abang Ni Jual Kopi Dukung Lain Dari Yang Lain

Hari ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk kelangsungan hidup.

Misalnya, atas faktor ekonomi dan bebanan kos sara hidup, kita tidak lagi boleh memilih kerja kerana yang lebih penting adalah setiap bulan perlu ada pendapatan.

Malah, ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang melakukan lebih daripada satu kerja dalam kehidupan mereka.

Lagi-lagi jika keluarga sudah besar dan anak-anak sudah mulai bersekolah. Komitmen menjadi semakin bertambah dan beban kewangan yang ada sudah tentu turut meningkat.

Jika di waktu pagi melaksanakan kerja hakiki, di malamnya pula diluangkan untuk kerja-kerja sampingan seperti menjadi penghantar makanan dan sebagainya.

Jual kopi dukung yang unik, untuk kelangsungan hidup

Situasi yang sama turut dihadapi oleh Mohamad Norazlan Bin Anuar atau Azlan, 32.

Lelaki itu nekad menjadikan perniagaan menjual kopi panas sebagai cabang untuk dia menambah sumber pendapatan buat menampung perbelanjaan keluarga.

Bapa kepada dua orang anak ini juga berkata, keuntungan daripada perniagaan ini dapat digunakan untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anaknya nanti.

Apa yang menarik tentang kopi panas Azlan adalah perniagaan minumannya yang unik dan kreatif.

Jika orang lain menjual kopi di kedai, tepi jalan atau di dalam kereta, Azlan menjual kopi secara ‘bergerak’.

Bekas air dispenser yang diubah suai diletakkan dalam kotak besi buatannya sendiri. Kemudian dia menggalas kotak tersebut dan mula menjual kepada orang ramai.

Menurut Azlan, dia mula menjual kopi panas pada pertengahan bulan 10 tahun lepas di sekitar Pantai Miami, Terengganu.

“Sebenarnya, saya bekerja di kedai cermin mata sepenuh masa. Jadual bekerja saya dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam. Selepas habis waktu bekerja, saya bersiap-siap pula untuk menjual kopi,” jelasnya.

Selain itu, had waktu Azlan menjual kopi panas tidak menentu. Ada kala sebelum pukul 12 tengah malam atau apabila kopi sudah habis terjual.

Kopi yang dijual pula cuma berharga RM2 secawan sekali gus mendapat sambutan daripada orang ramai.

Diilhamkan Daripada Luar Negara

Azlan menjelaskan idea untuk menjual kopi dukung itu diperolehi apabila dia menonton satu video dari luar negara.

Bercakap mengenai cabaran pula, Azlan berkata faktor cuaca seperti hujan lebat memberikan impak dari segi penjualannya.

“Bila saya berniaga, saya cuma fokus pada orang yang sedang melepak di tepi pantai dan jambatan angkat Kuala Terengganu.

“Tetapi, jika ada pertandingan memancing di Pulau Warisan, saya akan menjual disitu. Kebiasaanya pertandingan memancing ada pada hari Isnin,” tambahnya lagi.

Dia juga terbuka jika ada yang berhajat untuk menginfaqkan air yang dijualnya, mereka boleh menghubungi dia melalui TikTok miliknya, @abgkopidukung.

@abgkopidukung

Terima kasih sudi support bisnes kecik saya.. Terima kasih ats video abg yg fyp.. Sya hnya mmpu repost n copy video dri cust sahaja.. TLG bntu share Dan follow bg ckup kan 1k follower

♬ original sound – abgkopidukung – abgkopidukung

Sumber: @abgkopidukung via TikTok

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.