Siakap Keli
Gambar: AFP via VOA News

Nenek ‘Gamer’ Umur 81 Tahun, Main ‘Game’ Sebagai Hobi

Nenek ‘Gamer’ Umur 81 Tahun, Main ‘Game’ Sebagai Hobi

Seorang nenek bernama Maria Elena Arevalo yang berumur 81 tahun mempunyai sejenis  hobi yang sangat menarik.

Ini kerana, hobinya bukanlah hobi yang biasa dilakukan oleh mereka yang seusia dengannya. Dia tidak mengait, bercucuk tanam ataupun memasak sebagai hobinya.

Sebaliknya, nenek ini telah menjadikan bermain permainan video sebagai hobinya. Game yang dimain olehnya pula bukan game biasa-biasa tau!

Nenek ini main game Free Fire!

Cucu Perkenalkan Game 

Maria telah diperkenalkan kepada game yang dimain itu oleh cucunya sendiri iaitu Hector Carrasco yang berumur 20 tahun.

“Saya tidak tahu pun apa itu tetikus,” katanya pada AFP di rumahnya di Llay-Llay, Chile.

Permainan video itu telah menghilangkan rasa sunyi dalam dirinya setelah kematian suaminya pada tahun 2020 yang lalu.

“Kami mula bermain game itu bila Carrasco mempunyai masa lapang. Saya rasa lebih baik kerana saya tidak terlalu memikirkan mendiang suami saya lagi,” kata Maria lagi.

Dia turut menambah bahawa pada mulanya dia tidak mahu mencederakan sesiapa di dalam permainan itu. Tetapi lama-kelamaan, dia mula bermain dengan penuh semangat untuk mengalahkan pemain lain.

Setakat ini, Maria kini bermain di tahap Heroic yang merupakan satu tahap di bawah tahap yang tertinggi iaitu Grandmaster yang hanya dimain oleh 300 orang pemain. Namanya di dalam permainan tersebut adalah Mami Nena.

Selain itu, Maria Elena Arevalo juga mempunyai akaun TikTok dan YouTube. Masing-masing mempunyai sekitar 4 juta dan 650,000 pengikut. Kedua-dua platform itu digunakan olehnya untuk berkongsi tip bersama pemain yang lain.

Sebelum ini, dia telah pergi ke Mexico City dalam sebuah perjalanan yang ditanggung sepenuhnya sebagai seorang duta bagi Free Fire sempena ulang tahun permainan itu.

“Kanak-kanak di situ meminta tandatangan saya. Ia amat menggembirakan dan saya akan sentiasa mengingati saat itu,” kata Maria.

Warga Emas Terpenting

Maria yang merupakan seorang gamer, juga telah dinamakan sebagai salah seorang daripada 100 Warga Emas Terpenting di Chile oleh akhbar El Mercurio dan Universiti Katolik kerana telah melawan stereotype umur.

Cucunya pula mempunyai perasaan bangga terhadap neneknya yang sudah menjadi terkenal itu.

“Ia amat menakjubkan, bagi saya, nenek adalah kawan baik saya,” kata Carrasco.

Setelah tiga tahun Maria memulakan kerjayanya sebagai seorang gamer, dia menyatakan bahawa dia kini tidak rasa sunyi lagi.

Sebagai sebuah peringatan kepada mendiang suaminya, dia mempunyai seekor burung di dalam permainan itu yang dinamakan Benito.

Namun, kempen online dalam permainan itu kini menjadi sukar untuknya akibat daripada penyakit skleroderma yang semakin teruk. 

Penyakit itu mengakibatkan kulitnya mengeras dan mengetat. Tetapi, perkara itu bukanlah satu halangan untuk dirinya.

“Saya sukakan apa yang saya lakukan ini. Saya akan teruskannya sejauh yang saya mampu,” kata Maria.

Sumber: VOA News

BACA JUGA: ‘Bismillah’ Dalam Mechamato Movie Bahasa Jepun Ditukar, Ini Kata CEO

Nurul Alya