Siakap Keli
pengganti klopp liverpool
Gambar: AFP

Enam Nama Disebut-sebut Pengganti Klopp Di Liverpool

Enam Nama Disebut-sebut Pengganti Klopp Di Liverpool

Jurgen Klopp baru sahaja mengumumkan bakal berpisah dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool selepas tamat musim ini.

Selepas lapan tahun bersama dan memenangi semua trofi yang ditawarkan, nampaknya Liverpool perlu merangka pelan untuk mencari pengganti Klopp dari sekarang.

Melihat profil jurulatih elit semasa yang ada, sekurangnya-kurangnya enam nama muncul sebagai pengganti paling ideal kepada pengendali asal Jerman itu.

Xabi Alonso

Tidak dapat dinafikan, Alonso adalah calon paling sempurna dan sesuai yang boleh Liverpool dapatkan.

Seperti yang diketahui peminat bola, Liverpool mempunyai ikatan istimewa dengan anak watan Sepanyol itu.

Alonso merupakan pemain tengah penting yang membarisi skuad Liverpool untuk tempoh 2004 hingga 2009.

Beliau menjadi antara tonggak paling dikenang dalam ‘Keajaiban Istanbul’ ketika membantu Liverpool muncul juara UCL pada 2005.

Selain itu, Alonso juga pernah dilatih oleh beberapa jurulatih elit antaranya Rafa Benitez, Jose Mourinho, Carlo Ancelotti dan Pep Guardiola.

Saham beliau sebagai jurulatih terus berada pada paras tertinggi apabila Bayern Leverkusen yang dipimpinnya ketika ini berada di puncak Bundesliga.

Tidak pernah kalah selepas 18 perlawanan dan empat mata di atas Bayern Munich adalah ‘statement‘ kepada kemampuan Alonso.

Cuma, masalah Leverpool hanya satu, Real Madrid pun sedang mengintai khidmatnya.

Roberto De Zerbi

Namanya mungkin tidak segah Alonso, namun bakat kejurulatihan beliau tidak boleh disangkal lagi.

Apa tidaknya, beliau berjaya menjadikan Brighton sebuah pasukan yang menghiburkan untuk ditonton sejak beberapa musim lalu.

Misalnya, pada musim lepas beliau berjaya memacu Brighton untuk merebut posisi Liga Europa dan musim ini pula, mereka berjuang sekali lagi untuk ke Eropah.

Falsafah bola beliau dan kemahiran merekrut bakat baru mungkin kena dengan gaya bola sepak yang dimahukan Liverpool.

Steven Gerrard

Sebelum Alonso, nama sang kapten legenda ini disebut-sebut sebagai pengganti nombor satu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Klopp.

Malangnya, karier kejurulatihan beliau yang merudum selepas berhijrah dari Rangers ke Aston Villa mungkin menyukarkan keadaan.

Apatah lagi, beliau baru sahaja menandatangani perjanjian mega pada tahun lepas untuk menjadi jurulatih kelab Liga Arab Saudi, Al-Ettifaq.

Julian Nagelsman

Beliau yang ketika ini melatih skuad kebangsaan Jerman mungkin akan mempertimbangkan untuk kembali menjadi jurulatih kelab sekiranya mendapat tawaran Liverpool.

Kontraknya bersama Jerman tamat pada Julai depan, menjadikan tempoh berkenaan sesuai sekiranya Liverpool benar-benar mahukan khidmatnya.

Jose Mourinho

Mourinho juga merupakan antara nama besar yang boleh dipertimbangkan Liverpool selepas jurulatih asal Portugal itu tiada kelab sejak dipecat As Roma.

Bagaimanapun, nama Mourinho mungkin menjadi calon paling kurang digemari oleh peminat Liverpool jika mengambil kira beliau pernah melatih pasukan seteru, MU.

Selain itu, kemampuan beliau untuk melatih pasukan pada tahap tertinggi juga semakin diragui biarpun rekod meletakkan beliau antara jurulatih terbaik di dunia sepanjang zaman.

Zinadine Zidane

Ikon bola sepak global ini sudah pun membuktikan kredibilitinya sebagai jurulatih ketika melatih Real Madrid.

Bersama Los Blancos, beliau berjaya mendakap dua trofi La Liga dan tiga trofi UCL.

Zidane tidak menjadi jurulatih mana-mana kelab ketika ini, namun hala tujunya kekal menjadi tanda tanya.

Sebelum ini, beliau dikhabarkan telah menolak tawaran untuk menjadi jurulatih Manchester United sebelum kelab itu melantik Erik ten Hag.

Desas-desus kemudian mengatakan beliau mungkin lebih berminat untuk menjadi jurulatih Perancis selepas ini.

BACA: Keputusan Kajian Skim Saraan Penjawat Awam Turut Terpakai Kepada Ahli Politik – Anwar

Menurut anda, siapakah jurulatih paling sesuai untuk Liverpool? Adakah nama-nama di atas atau ada calon lain yang lebih sesuai?

Sumber: Goal

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.