Siakap Keli
FAM dapat durian runtuh
Kredit BERNAMA

FAM Dapat “Durian Runtuh”, Peruntukan RM5 Juta Daripada Kerajaan

FAM Dapat “Durian Runtuh”, Peruntukan RM5 Juta Daripada Kerajaan

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Kerajaan hari ini bersetuju menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan berkenaan disalurkan dengan mengambil kira semangat juang tinggi pasukan Harimau Malaya pada saingan Piala Asia 2023, lebih-lebih lagi dengan kejayaan mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan, 3-3, pada perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub Doha, Qatar semalam.

“Satu pertarungan hebat, Harimau Malaya menunjukkan keupayaan, kesungguhan, semangat mereka tidak lusuh walaupun setelah kalah dalam dua pertarungan (menentang Jordan dan Bahrain), tapi nampak mereka menunjukkan perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat bertarung dengan satu pasukan kuat Korea Selatan.

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada mereka, mara terus dan kerana (Harimau Malaya) menunjukkan semangat sedemikian dan atas pertimbangan Menteri Belia dan  Sukan (Hannah Yeoh), kerajaan telah bersetuju luluskan RM5 juta kepada FAM supaya dapat mengurus pasukan bola dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya kepada pemberita sebelum menyertai sesi makan tengah hari di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anwar juga mengumumkan bahawa dana berkenaan akan disalurkan dengan kadar segera untuk kegunaan badan induk yang memayungi bola sepak negara itu.

BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’

Sebagai rekod, perlawanan itu merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait apabila bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989.

Walaupun seri dengan Korea Selatan, hasrat Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia 2023 tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan E, masing-masing tumpas 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain, sekali gus menduduki tempat terakhir dengan mengumpul satu mata.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka