Siakap Keli
Undian untuk best match
Kredit BERNAMA

Malaysia vs Korea Selatan Calon Anugerah “Best Match Of The Group Stage”

Malaysia vs Korea Selatan Calon Anugerah “Best Match Of The Group Stage”

Saingan peringkat kumpulan Piala Asia Qatar 2023 sudah pun berakhir dengan 16 pasukan yang mara ke peringkat seterusnya sudah pun diketahui.

Susulan itu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi laman web telah membuka undian Anugerah Perlawanan Terbaik Peringkat Kumpulan.

Lebih menarik, perlawanan ketiga Kumpulan E antara Malaysia menentang Korea Selatan turut tersenarai sebagai antara enam calon.

Seperti yang semua sedia maklum, perlawanan berkenaan berakhir dengan penuh dramatik apabila Malaysia berjaya mengikat Korea Selatan pada masa kecederaan.

Walaupun sudah tersingkir, komitmen dan semangat juang anak buah Kim Pan-gon di atas padang dalam perlawanan terakhir nyata membuka mata banyak pihak.

Apatah lagi jika mengambil kira ranking Harimau Malaya yang ketika itu berada di kedudukan ke-136 dunia.

Undi Malaysia vs Korea Selatan untuk anugerah best match di laman web AFC

Manakala Korea Selatan merupakan gergasi Asia di ranking ke-25 dunia dan calon pilihan untuk muncul juara temasya itu.

Di atas kertas, semua menjangkakan Harimau Malaya mudah dijinakkan Taeguk Warriors.

Namun yang berlaku adalah sebalikya, apabila ada satu ketika pasukan kebangsaan sempat berada di depan pasukan yang diketuai Son Heung-min itu.

Malah, ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan kemenangan untuk Korea Selatan, terjadilah ‘keajaiban’ yang tidak mungkin akan dilupakan semua.

Gol ketiga sumbangan Romel Morales pada minit ke-14 masa kecederaan cukup untuk menghampakan impian Korea Selatan untuk muncul sebagai juara kumpulan.

Lebih manis, gol tersebut turut menyumbang kepada mata pertama untuk skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia selepas 44 tahun menanti.

Tugas terakhir untuk ekor Harimau sejati

Walaupun perjuangan pasukan kebangsaan di Piala Asia sudah berakhir, namun masih ada tugas berbaki untuk semua rakyat Malaysia.

Undian untuk memilih Perlawanan Terbaik Peringkat Kumpulan sebenarnya dibuka kepada orang ramai, khususnya bagi peminat bola sepak.

Jadi, ayuh kita ke laman web AFC dan tekan undi untuk perlawanan bersejarah Malaysia menentang Korea Selatan.

Undian boleh dibuat disini dan undian akan ditutup pada 28 Januari ini. Undi, biar kita ada cerita untuk dikongsi dengan anak cucu nanti.

BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’

Sumber: AFC

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka