Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Guru Taska Kekal Pengakuan Tidak Bersalah Abai Kanak-kanak Hingga Mati Lemas

Nur Syahirah Zainoor Hisham
guru taska kanak-kanak mati lemas
Kredit: Bernama

Bekas Guru Taska Kekal Pengakuan Tidak Bersalah Abai Kanak-kanak Hingga Mati Lemas

IPOH, 30 Jan (Bernama) — Seorang bekas guru sebuah taska dihadapkan semula di mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak di bawah jagaannya sehingga menyebabkan mangsa mati lemas, April tahun lepas.

Tertuduh, 59, mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Shahrin Mohamad.

Pada 12 Julai lepas, wanita itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, teruduh yang mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa, 4, didakwa telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di kolam renang The Centro Club, Bandar Baru Sri Klebang di sini pada 10.20 pagi, 17 April 2023 mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mendekati keluarga mangsa atau saksi, selain perlu melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.

Peguam Gary Xavier yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikekalkan seperti sebelum ini iaitu RM2,500 dengan seorang penjamin atas alasan tertuduh menjalani pembedahan barah otak dan kini sedang mendapatkan rawatan susulan serta mengambil ubat antisawan, selain tidak lagi bekerja dan menanggung ibunya yang berusia 80 tahun serta turut memberikan kerjasama semasa siasatan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes.

Terdahulu di Mahkamah Majistret di sini, Majistret Siti Nora Sharif melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh daripada pertuduhan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan sebelum kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Sesyen.

Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia pada 23 April 2023, setelah enam hari bertarung nyawa di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Ibu mangsa D. Nilaveni, 41, turut dilihat hadir dengan wajah sugul di mahkamah mengendong anak patung serta membawa beg kanak-kanak bersama botol susu dipercayai milik mendiang anaknya. Beliau ditemani suaminya V. Vijay, 44.

Sebelum ini juga tular video tindakan ibu bapa kanak-kanak itu berjalan kaki tanpa kasut dari Bandar Baru Sri Klebang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dengan memegang sepanduk “Justice For Thanes” mengundang perhatian netizen apabila memaklumkan berbuat demikian demi menuntut keadilan kematian anak mereka.

BACA: Ini Kisah “Urban Legend” Di Sebalik Komen “What Country Is This?”

Sumber: Bernama