Pada awalnya, selebriti tanah air iaitu Alif Satar memulakan #GengSubuhMacamJumaat menerusi laman sosial Instagram dan mengajak pengikut untuk menyertainya solat subuh di Masjid Saidina Umar Bukit Damansara,
Siapa sangka, kempen yang menggalakkan orang ramai solat berjemaah di masjid pada waktu Subuh telah mendapat sambutan yang baik sekaligus menular ke masjid di negeri-negeri lain.
Bukan itu sahaja, ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ juga menjadi tular di Turkiye dan negara seberang tambak, Singapura.
BACA: ‘Subuh Macam Jumaat’, Lebih 500 Geng RXZ Turun Subuh Berjemaah
Terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan untuk memberi sokongan penuh kepada Kempen #GengSubuhMacamJumaat dengan penganjuran #GengSubuhMacamJumaatPDRM di Masjid Bukit Aman dan Taman Tasik Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Menerusi laman Facebook rasmi PDRM, program tersebut disertai oleh selebriti yang menjayakan kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ iaitu Alif Satar. Dalam pada itu, ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia pada 4 Februari (Ahad), jam 5:30 pagi.
Program berkenaan bakal diimamkan oleh Timbalan Pengarah JIPS (Bahagian Agama dan Kaunseling – BAKA) Bukit Aman, Datuk Ghazali Daud. Manakala, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut melibatkan diri dalam program tersebut.
Tambahan pula, Mohd Affendi Mohamed Nor (PU Fendi) bakal memberi tazkirah subuh serta Yabang Khalifah sebagai bilal menyerikan lagi program yang mulia ini.
Selain daripada menunaikan solat Subuh, program dimeriahkan lagi dengan aktiviti-aktivti yang menarik. Contohnya, seperti Fun Run dan Fruit Truck untuk para peserta larian.
Rata-rata komen di laman Facebook PDRM menyokong acara yang dilakukan oleh agensi kerajaan tersebut.

Sumber: Laman Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )