Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wanita Mengaku Bersalah Anjur Kumpulan Wang Kutu

Wanita Anjur Kumpulan Wang Kutu
Gambar sekadar hiasan

ALOR SETAR, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM1 juta, antara Julai 2025 hingga Julai tahun ini.

Pengakuan Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, direkodkan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Wanita itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang disertai 52 individu berusia 24 hingga 62 tahun dengan setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan itu di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern menawarkan jaminan RM100,000 berikutan jumlah kerugian yang dianggarkan melebihi RM1 juta.

Siti Zulaika yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan untuk mengurangkan jumlah jaminan itu.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 22 Sept untuk hukuman.

Pada 4 Ogos, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan Siti Zulaika dan suami serta anak dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai, sebelum wanita itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata pihaknya menerima 35 laporan polis berkaitan wanita terbabit berhubung pelaburan wang kutu.