Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Enam Sekolah Di Kawasan Tebedu, Sarawak Ditutup Sementara Susulan IPU Melebihi 200

Enam sekolah di kawasan Tebedu
Kredit: Bernama

Enam sekolah di kawasan Tebedu, di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, ditutup sementara susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat keadaan jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu merupakan langkah pencegahan selaras dengan ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah sebagai keutamaan.

Enam sekolah di tebedu, Sarawak ditutup sementara

Enam sekolah yang terlibat setakat 10.30 pagi ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag melibatkan 51 murid dan 14 staf; SK Sungai Sameran (129 murid, 21 staf); SK Tepoi (42 murid, 15 staf); SK Entubuh (67 murid, 18 staf); SK Temong (205 murid, 21 staf); dan SK Tema (85 murid, 15 staf).

JPNS turut menjelaskan bahawa pengetua dan guru besar tidak perlu menunggu arahan khusus daripada PPD atau JPNS untuk mengambil tindakan penutupan sekolah sekiranya bacaan IPU di kawasan atau daerah masing-masing melebihi 200.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan selaras dengan Surat Siaran KPM Bil. 1 Tahun 2019 yang menetapkan bahawa semua sekolah di kawasan atau daerah dengan bacaan IPU melebihi 200 hendaklah ditutup serta-merta.

“Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak segera berdasarkan bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing dan tidak perlu menunggu arahan penutupan daripada PPD atau JPN,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pihak sekolah perlu memaklumkan tindakan penutupan kepada PPD dan JPN dengan segera bagi tujuan penyelarasan, pemantauan dan rekod.

Dalam pada itu, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian diteruskan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.

JPNS melalui PPD Serian juga akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

Pihak sekolah turut diingatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan bersesuaian berdasarkan ketetapan KPM.

JPNS meminta ibu bapa dan penjaga memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat serta mengikuti makluman rasmi yang dikeluarkan pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS.

Sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah akan mengambil kira perkembangan bacaan IPU, keadaan semasa serta ketetapan dan panduan pihak berkuasa.

JPNS menegaskan keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan kekal sebagai keutamaan dalam pengurusan situasi jerebu.

Intipati
  • Enam sekolah di Tebedu ditutup sementara selepas bacaan IPU melebihi 200 akibat jerebu.
  • JPNS berkata penutupan dibuat sebagai langkah pencegahan mengikut ketetapan dan garis panduan KPM.
  • PdPR dalam talian diteruskan, sementara JPNS dan PPD Serian memantau perkembangan kualiti udara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan