Siakap Keli
Brendan gan selangor
Gambar: Selangor FC

Brendan Gan Sah Tinggalkan Selangor FC

Brendan Gan Sah Tinggalkan Selangor FC

PETALING JAYA — Kapten pasukan Selangor Football Club (FC), Brendan Gan sah meninggalkan pasukan itu dan tidak akan bersama pada musim 2024.

Perkara itu dimaklumkan oleh The Red Giants dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi hari ini.

“Kami ucapkan selamat tinggal kepada seorang wira dan salah seorang pemain terbaik yang pernah menyarung jersi Merah Kuning.

“Cintanya terhadap bola sepak diterjemahkan dalam 80 penampilan sepanjang empat tahun dengan 14 jaringan dan 12 bantuan gol.

“Kepimpinan, semangat, keberanian, sifat rendah diri, budi bicaranya menjadi contoh kepada pasukan.

“Kapten The Red Giants (Brendan Gan) telah melalui pelbagai kejayaan dan kepayahan yang dikongsi bersama. Perjalanan kita selamanya Merah. Brendan Gan Seng Ling. Terima Kasih,” tulis kelab bola sepak itu.

Karier Bola Sepak Brendan Gan Di Selangor & Skuad Kebangsaan

Pada 1 Disember 2019, Brendan diumumkan secara rasmi sebagai pemain Selangor FC dengan memakai jersi bernombor 88.

Pada Julai 2021, pemain itu didiagnos menghidap kanser testis dan terpaksa menjalani sesi pemulihan selama 12 bulan sebelum kembali beraksi bersama kelab pada 19 September 2022.

Bukan itu sahaja, Brendan turut menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya dengan membuat 35 penampilan, satu gol dan tiga bantuan gol.

Perlawanan terakhirnya adalah sewaktu Malaysia berjaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 Qatar baru-baru ini.

BACA: Kelayakan Piala Dunia: Malaysia Antara Lima Negara Dapat Perhatian FIFA

Beberapa Pemain Lain Turut Tinggalkan Selangor FC

Sementara itu, Selangor FC dalam satu hantaran lain turut menyebut beberapa nama lain yang bakal meninggalkan pasukan itu.

Antaranya  Ayron Del Valle, Yazan Al-Arab, Boakye-Yiadom, Rauf Salifu and Zahril Zabri.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Brendan Gan, Ayron Del Valle, Yazan Al-Arab, Boakye-Yiadom, Rauf Salifu and Zahril Zabri atas kerja keras dan pengorbanan mereka kepada kelab.

“Mereka berkongsi sebanyak 192 penampilan dengan jumlah 51 gol dan merekodkan 21 bantuan gol.

“Kelab ini mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka pada masa hadapan dan sekali lagi mengucapkan terima kasih atas jasa mereka kepada kelab,” maklum kenyataan tersebut hari ini.

Untuk makluman, Selangor pada musim lalu menduduki tangga ke-2 Liga Super dengan berjaya mengumpul 61 mata selepas 26 perlawanan, 15 mata di belakang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selamat Maju Jaya Brendan Gan!

Sumber: Selangor FC

BACA JUGA: Ratusan Nyawa Penyokong Terkorban, Ini 7 Tragedi Terburuk Pernah Berlaku Dalam Sejarah Bola Sepak Dunia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?