Siakap Keli
tiga pemimpin politik pengampunan
Gambar: BERNAMA

Ketahui Tiga Pemimpin Politik Yang Pernah Menerima Pengampunan Diraja

Ketahui Tiga Pemimpin Politik Yang Pernah Menerima Pengampunan Diraja

Topik berkenaan pengampunan diraja menjadi bualan hangat di media sosial pada masa kini selepas media melaporkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengurangan dalam hukumannya.

Ia telah menjadi tumpuan orang ramai apabila hukuman yang dikenakan kepadanya sebelum ini dikurangkan sebanyak 50 peratus.

Kemungkinan ramai yang tertanya-tanya tentang konsep pengampunan diraja dan siapakah yang layak menerima atau yang telah menerima pengampunan tersebut?

Pun begitu, min telah sediakan maklumat berkenaan dengan perkara tersebut dan diharap perkongsian ini dapat menjawab persoalan-persoalan anda.

Konsep Pengampunan Diraja

Untuk pengetahuan, kuasa pengampunan atau pengampunan diraja adalah sebuah kuasa mutlak untuk Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Negeri.

Pengampunan ini adalah bertujuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.

Selain itu, lembaga pengampunan yang ditubuhkan terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri dan juga tidak melebihi tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Negeri.

Kuasa pengampunan diraja ini menjadi sesuatu yang penting dalam sistem pemerintahan beraja dan ia bukan saja diberikan kepada mereka yang pernah mengharumkan nama negara, tetapi ia juga boleh diberikan kepada banduan yang menunjukkan kelakuan yang baik dalam penjara.

BACA: Isteri Taib Mahmud Rayu Hentikan Tuduhan & Sangkaan Jahat Terhadapnya

Penerima Pengampunan Diraja

Terdapat beberapa ahli politik lain yang pernah menerima pengampunan diraja.

Antaranya adalah, Mantan Menteri Selangor, Datuk Seri Harun Idris, Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim dan juga Perdana Menteri terkini, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikut adalah kesalahan yang telah dilakukan serta pengampunan yang diterima oleh setiap individu tersebut.

Datuk Seri Harun Idris

Gambar via Wikipedia

Mantan Menteri Selangor ini telah dikenakan hukuman penjara selama enam tahun kerana telah melakukan kegiatan rasuah dan penipuan.

Hukuman itu dijatuhkan kepadanya kerana telah menerima rasuah sebanyak RM250,000 dari bank Perbadanan Hong Kong dan Shanghai.

Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman tersebut dan telah disokong oleh Mahkamah Federal. Namun, pada 28 Julai 1981, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Haji Ahmad Shah telah mengadakan sidang pengampunan.

Setelah mempertimbangkan jasa-jasa mantan menteri itu terhadap negara serta laporan-laporan dari penjara yang diterima, Datuk Seri Harun Idris telah dibebaskan selepas empat tahun dipenjarakan.

Ini bermakna tempoh hukuman penjaranya itu telah dikurangkan daripada enam tahun kepada empat tahun.

Datuk Mokhtar Hashim

Gambar via BERNAMA

Datuk Mokhtar Hashim telah didapati bersalah membunuh seorang Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 14 April 1982.

Mantan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan itu sepatutnya dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tetapi, hukumannya itu telah ditukar menjadi penjara selama seumur hidup kira-kira pada tahun 1984. Datuk Mokhtar Hashim telah dibebaskan pada 10 Julai 1991 selepas beliau mendapat pengampunan diraja setelah dipenjara selama lapan tahun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Gambar: BERNAMA

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah didapati bersalah dalam kes meliwat pemandu keluarganya pada tahun 1998 dan telah menerima hukuman penjara selama sembilan tahun dari Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Beliau sepatutnya menjalani hukuman itu selepas menyelesaikan hukuman penjara selama enam tahun yang disabitkan kepadanya pada 4 April 1999 atas kesalahan rasuah.

Tetapi, selepas enam tahun dipenjarakan kerana rasuah, Perdana Menteri itu dibebaskan pada 2 September 2004 setelah mahkamah Persekutuan meminda sabitan kesalahan terhadapnya mengenai kes liwat itu.

Namun, pada tahun 2015, beliau telah dipenjarakan selama lima tahun selepas lima hakim dari Mahkamah Persekutuan menetapkan keputusan bersalah dalam satu lagi kes terhadapnya.

Kemudian pada tahun 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima pengampunan sepenuhnya daripada Sultan Muhammad V.

Hal ini kerana Sultan Muhammad V menganggap bahawa kes terhadap dirinya itu mempunyai travesty of justice.

Sumber: Sinar Harian / JPA Pencen

BACA JUGA: Peminat Tuntut Semula Duit Tiket Lepas Kecewa Messi Tak Main

Nurul Alya