Siakap Keli
ranking FIFA angola
Gambar: AFP

Tiga Kali Menang & Sekali Seri Di AFCON, Ranking FIFA Angola Bakal Naik ‘Mencanak’

Tiga Kali Menang & Sekali Seri Di AFCON, Ranking FIFA Angola Bakal Naik ‘Mencanak’

Dalam kita meraikan kehangatan Piala Asia, usah dilupa bahawa satu lagi kejohanan bertaraf benua, Piala Negara-negara Afrika (AFCON) juga sedang berlangsung ketika ini.

Seperti di Piala Asia, kejutan dan drama juga berlaku dalam kejohanan tersebut. Lima pasukan gergasi yang disebut-sebut bakal menjadi juara, antaranya Mesir, Maghribi dan Algeria semua sudah tersingkir.

Namun yang paling mencuri tumpuan sepanjang AFCON adalah kemaraan pasukan kerdil, Angola yang berjaya melangkah sehingga ke pusingan suku akhir.

Biarpun tewas dalam perlawanan peringkat itu kepada Nigeria, namun Angola ada kesudahan yang wajar dibanggakan oleh semua peminatnya.

Apa tidaknya, dalam perjalanan tersebut, mereka berjaya menewaskan tiga pasukan, satu daripadanya adalah pasukan gergasi dan sekali seri, juga dengan calon juara.

Ranking FIFA Angola bakal naik mencanak

Berada di ranking ke-117 FIFA sebelum AFCON bermula, Angola seri 1-1 dalam perlawanan pertama menentang Algeria yang berada di ranking ke-30 FIFA.

Kemudian, Angola membuat perhitungan dengan Mauritania (ranking ke-105) dalam perlawanan kedua dan menang 3-2 ke atas pasukan tersebut.

Kejutan hadir dalam perlawanan ketiga apabila Angola berjaya menundukkan Burkino Faso, pasukan jauh di ranking lebih tinggi iaitu ke-57 dunia dengan jaringan 2-0.

Seterusnya, di pusingan 16, Angola menunjukkan jalan keluar kepada Namibia dengan keputusan 3-0. Namibia adalah pasukan di tangga ke-115 dunia.

Tiga kemenangan dan satu keputusan seri yang dicatatkan itu cukup untuk memberikan mata ranking FIFA yang sangat banyak kepada Angola.

Naik sekurang-kurangnya 24 anak tangga

Menurut hantaran-hantaran yang dibuat di Facebook, skuad kebangsaan negara itu berkemungkinan mengumpul lebih daripada 70 mata FIFA.

Jumlah mata yang dikumpul itu dijangka membolehkan ranking FIFA semasa naik mencanak sekurang-kurangnya 24 anak tangga.

Jika tepat pengiraan yang dibuat, Angola bakal naik dan menghuni posisi 93 dunia selepas ini. Malah, Angola juga berpotensi menjadi pasukan dengan lonjakan ranking tertinggi bagi Februari.

Bagaimanapun, kedudukan rasmi ranking dunia bagi bulan Februari masih belum dikeluarkan oleh FIFA dan hanya akan diketahui sekurang-kurangnya pada hujung bulan ini.

Jadi, sama-sama kita nantikan.

BACA: Antara Pendahulu Global, Indeks ICT Malaysia Ditangga Ke-15 Dunia

Sumber: Facebook

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.