Siakap Keli
pesawat jatuh menjunam
Gambar: JBPM Selangor

Pesawat Dilihat Terbang ‘Tidak Betul’, Jatuh Menjunam – Saksi

Pesawat Dilihat Terbang ‘Tidak Betul’, Jatuh Menjunam – Saksi

KAPAR, 13 Feb (Bernama) — Seorang penduduk di Kampung Tok Muda di sini, di kawasan sekitar tempat kejadian pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas tengah hari tadi berkata, beliau melihat pesawat itu terbang dalam keadaan ‘tidak betul’ di udara sebelum terhempas.

Jinaidi Nasiran, 55, berkata ketika itu beliau sedang menukar tayar kereta di kawasan rumahnya, yang bertentangan dengan lokasi kejadian.

“Pesawat itu menjunam laju, jatuh dalam pukul 1.30 petang… saya terus ke lokasi terhempas, saya lihat pesawat itu sudah berkecai dan sedikit tertanam di dalam tanah.

“Saya cuba juga tengok jika ada mangsa, tapi tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, seorang peniaga Siti Zubaidah Salin, 60, yang tinggal kira-kira 150 meter dari kawasan kejadian berkata semasa kejadian beliau terdengar dentuman kuat dan merasa gegaran, yang pada mulanya disangkakan gempa bumi.

BACA: Pesawat Ringan Terhempas Dinaiki Dua Penumpang Termasuk Juruterbang

“Mak cik sedang berehat dalam rumah, baru balik meniaga, tiba-tiba rasa macam gempa bumi. Mak cik keluar ke rumah tengok kalau jadi apa-apa (susulan) tapi tiada apa berlaku, tiba-tiba dengar orang bising.. pesawat terhempas,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga buah Sufian Hadi Abas, 45, berkata beliau mendengar satu letupan kuat dan nampak jelas serpihan-serpihan pesawat berterbangan bersepah semasa kejadian.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan awal petang ini mengesahkan pesawat ringan model BK 160 Gabriel itu terhempas di Kapar, Selangor hari ini.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?