Siakap Keli
Pandelela akhirnya buka mulut
Kredit BERNAMA, Facebook/Pandelela Rinong

Datuk Pandelela Buka Mulut, Beri Penjelasan Isu Berbangkit

Datuk Pandelela Buka Mulut, Beri Penjelasan Isu Berbangkit

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong hari ini membuka mulut dan memberi penjelasan tentang beberapa perkara berbangkit.

Sebelum ini, laporan media tentang kenyataan yang dibuat beliau pada minggu lepas telah menimbulkan banyak perdebatan di media sosial.

Kenyataan itu dibuat ketika ditemu bual wartawan berhubung persembahan skuad terjun di Kejohanan Akuatik Dunia Doha, Qatar.

Menurut Pandelela, selepas bertemu dengan semua pihak berkepentingan untuk menjelaskan perkara tersebut, kini beliau mahu memberikan penjelasan kepada para penyokong, peminat dan penaja-penaja tentang isu yang sama.

“Saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan semua kasih sayang dan sokongan yang diberikan oleh anda semua.

“Sama ada ketika kita sama-sama meraikan kemenangan atau ketika kita melalui tempoh sukar.

“Saya ditemu bual oleh wartawan sejurus tiba di KLIA tentang apa yang saya rasai. Saya beritahu mereka tentang kekecewaan saya alami dan menerima kekalahan tersebut tanpa memberi sebarang alasan.

“Apabila ditanya, apakah punca yang menjejaskan prestasi pasukan, saya menjawab hanya ada isu.

“Tetapi saya tidak menghuraikan isu tersebut kerana belum berjumpa dengan pihak berkepentingan untuk proses bedah siasat (post mortem),” katanya.

Menurut Pandelela, isu-isu tersebut melibatkan latihan.

“Bagaimanapun, isu ini telah diterjemahkan ke dalam istilah seperi ‘entiti’ dan ‘pihak ketiga’ yang sangat mengelirukan orang ramai.

“Laporan tersebut menyebabkan begitu banyak spekulasi dan salah faham. Saya juga terpaksa menghabiskan banyak masa selepas pulang untuk menjelaskan perkara tersebut kepada pihak yang berkepentingan,” katanya.

Menurut Pandelela lagi, beliau tidak ada platform lain untuk menjawab isu tersebut dan berharap penjelasan yang dibuat dapat menjernihkan suasana.

Kecewa dan dalam masa yang sama menerima kekalahan tersebut

Sebagai atlet, Pandelela mengakui sangat terkilan dan kecewa apabila tidak mendapat slot ke Sukan Olimpik.

“Atlet berlatih setiap hari supaya mereka dapat menunjukkan hasil kerja keras mereka di pertandingan.

“Kami merasakan kekalahan itu 1000 kali ganda lebih kuat dari sesiapa sahaja dan meletakkan beban kesalahan atas diri sendiri.

“Tetapi sebagai atlet, kami juga memiliki sifat tabah dan keupayaan untuk bangkit dan berjuang lagi dan lagi.

“Kecintaan saya dalam sukan terjun masih menebal dan saya akan bangkit semula.

“Apabila tiba masanya untuk saya bersara, saya akan melakukan perkara tersebut dengan baik, seperi yang dilakukan atlet-atlet hebat sebelum ini,” katanya.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: Facebook/Pandelela Rinong

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka