Siakap Keli
guru kisah pilu

Guru Kongsi Kisah Pilu, Anak Murid Minta Bacakan Al-Quran Sebelum Meninggal Dunia

Guru Kongsi Kisah Pilu, Anak Murid Minta Bacakan Al-Quran Sebelum Meninggal Dunia

Kata orang guru itu ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Walau sesukar mana pun proses mendidik anak-anak bangsa, mereka tidak pernah berputus asa dan patah semangat. Sesuai dengan kata-kata itu, mereka juga bukan sekadar mencurahkan ilmu pengetahuan tetapi turut menjadi role model terbaik untuk para murid.

Bagaimanapun, kadang kala guru juga perlu berhadapan dengan takdir yang sememangnya tidak disangka. Seperti yang dilalui oleh seorang guru yang mengajar di Sekolah dalam Hospital (SdH).

Menerusi perkongsiannya kepada Siakap Keli, Ahmad Ishamudin Jamhari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Isham meluahkan kisah pilu pernah dihadapinya apabila kehilangan anak murid buat selama-lamanya.

Walaupun silibus sama seperti sekolah biasa, SdH semestinya sedikit berbeza kerana ia melibatkan murid yang terdiri daripada kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit, termasuk penyakit kronik.

Memulakan cerita, dia diterima masuk untuk mengajar di wad pediatrik Hospital Selayang pada 16 Mei 2016. Ketika itu, dia ditugaskan untuk mengajar salah seorang murid yang menghidap hepatitis B.

Sudah menjadi rutin setiap hari bertugas, nama Arif (bukan nama sebenar) tak pernah lekang dalam jadual pengajarannya.

“Mungkin kerana keserasian yang terbina, kerana memahami setiap luahan yang nak disampaikan anak syurga ni,” ujarnya.

“Tanggal 30 mei 2016 genap 2 minggu mengajar di SdH Selayang, satu peristiwa yang takkan dilupakan dalam karier seumur hidup saya telah berlaku. Satu perkara yang amat menyayat dan merobek hati sanubari sebagai pendidik,” katanya.

Cikgu Isham berkata Arif sangat ramah dan sering meminta dia membacakan buku. Tetapi tanpa dia sangka hari itu menjadi hari terakhir untuknya membacakan buku tersebut buat Arif.

“Seperti biasa saya akan bertanya khabar dengan Arif akan dirinya, keadaannya dan makan minumnya sebelum memulakan sesi PdP di tepi katil bersamanya.

“Walaupun matanya agak sepet kekuningan dan perutnya semakin membesar, dia tetap setia menanti kehadiran saya untuk belajar sesuatu yang baharu walaupun dia tahu yang dia tiada peluang lagi menatap hari yang mendatang satu hari nanti.

“Wajahnya tetap ceria, menguntum senyuman walaupun pahit menderita dengan penyakit yang dihidapinya. Saya berasa suatu kelainan pada petang itu, Arif memegang erat tangan saya, lain dari biasa.

“Cuma kali ni agak lain permintaannya, “cikgu boleh tolong saya, cikgu bacalah ye..”. Saya seperti biasa mencapai komik bola Safee Sali untuk dibacakan kepada Arif.

“Setelah saya bacakan komik itu berulang kali, dia menarik sesuatu dari poket baju saya yang berupa al-Quran kecil yang selalu saya bawa kemana-mana,” ujarnya.

Katanya lagi, dia menuruti permintaan Arif yang ingin mendengar alunan ayat Al-quran.

“Bermula dengan ummul kitab saya mulakan diikuti surah Annas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas tetapi genggaman tangannya semakin lama semakin berkurangan lalu terkulai setelah selesai saya tamatkan bacaan surah Al-Ikhlas.

“Saya tergamam dan terkejut, apakah yang telah berlaku? Lantas saya memanggil jururawat yang bertugas.

“Saya diminta berada di luar seketika tetapi hati saya kuat menyatakan Arif kau dah takde.

“Jururawat itu segera memanggil doktor yang bertugas, setelah beberapa kali CPR dijalankan, tiada perkembangan positif yang ditunjukkan.

“Arif telah pergi meninggalkan kami buat selamanya. Seluruh penghuni kamar 20 wad 8B teresak-esak akan pemergian arwah Arif.

“Semoga arwah ditempatkan bersama para solihin dan syuhada. Al-Fatihah dibaca untuknya.”

Kisah yang dikongsikan oleh Cikgu Isham ini adalah salah satu pengalaman yang perlu dilalui oleh guru-guru yang bertugas di Sekolah dalam Hospital di seluruh negara.

Walau berat hati untuk menerima kehilangan tersebut, mereka perlu meneruskan perjuangan untuk mencurahkan ilmu bakti kepada anak bangsa.

Apa itu Sekolah dalam Hospital (SdH)?

Mungkin ramai lagi yang belum tahu mengenai SdH ini. Dilancarkan pada 26 Julai 2011, inisiatif ini dilaksanakan untuk menyediakan pendidikan yang formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif secara santai. Dalam masa sama, ia menyokong dan memberi rangsangan kepada murid untuk meneruskan pembelajaran supaya tidak tercicir dalam pelajaran.

SdH juga telah mengukuhkan kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM).

Kredit: Hospital Tawau

Setakat ini terdapat 17 buah SdH yang beroperasi di Malaysia dan dijangka akan diperluaskan lagi selepas ini.

Walaupun menghidap mempunyai pelbagai penyakit seperti kanser darah dan sakit jantung, para pesakit muda ini tidak patah semangat untuk terus mendapatkan ilmu pengetahuan.

Masalah kesihatan tersebut tidak menghalang mereka untuk cemerlang dalam pelajaran. Buktinya, ada murid yang dapat keputusan kejayaan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, ada juga yang pada awalnya tidak menguasai kemahiran 3M ketika di sekolah harian, telah berjaya menguasainya hasil daripada kaedah pengajaran bersemuka dan berfokus yang diberikan oleh guru SdH.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan silibus SdH? Untuk pengetahuan, kurikulum yang digunakan adalah Kurikulum Kebangsaan. Tetapi guru akan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mengikut kesesuaian dengan keperluan semasa dan tahap keupayaan mereka.

Belajar di tepi katil, antara kaedah PdP di SDH

Pembelajaran dan Pengajaran di SdH ini dijalankan dalam bentuk kumpulan di kelas dan secara individu di sisi katil di wad. Sesi itu pula dibahagikan kepada dua iaitu dua jam pada waktu pagi (10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari). Manakala dua jam lagi pada waktu petang (2.00 petang hingga 4.00 petang).

Sehingga Disember 2023, terdapat 100 orang guru yang mengajar di SdH di seluruh Malaysia.

Kesungguhan mereka dalam memberikan yang terbaik untuk semua anak murid telah membuahkan hasil. Malah, ada antara guru ini juga telah mendapat pengiktirafan antaranya dinobat sebagai Johan Amalan Terbaik Sekolah Dalam Hospital SeMalaysia, Bahagian Pendidikan Khas pada tahun 2015.

Selain itu, ada antara mereka berjaya menjadi Johan bagi Kajian Tindakan Kebangsaan di Persidangan Penyelidikan Kebangsaan Kali ke-15 dan Pembentang 26th ICTEL 2019 International Conference on Teaching Education & Learning di IBIS, Bali, Kuta Indonesia.

Secara tuntasnya, Sekolah dalam Hospital telah membawa perubahan yang besar bukan sahaja kepada landskap pendidikan negara tetapi juga kepada murid-murid di sekolah itu sendiri.

Semoga usaha KPM dalam memastikan pendidikan inklusif untuk semua ini dapat diteruskan demi masa depan anak-anak pewaris negara.

Sofea

There's always another side to every story